Belajar daripada Oscars: Bagaimana Tipografi Memainkan Peranan Penting

5:29 PTG

ANUGERAH Academy 2017 hujung Februari yang lalu menghidangkan kita beberapa kejutan penting; antara lain filem muzikal La La Land yang pada awalnya tercalon sebanyak 14 pencalonan akhirnya hanya membawa pulang 6 trofi Oscar (masih, satu kemenangan besar). Namun tiada siapa yang akan dapat melupakan insiden paling mengejutkan dalam sejarah penganjuran Oscar selama 89 tahun; pemenang yang salah diumumkan untuk anugerah Filem Terbaik.

Pada 26 Februari yang lalu, penyampai bagi anugerah kemuncak, Filem Terbaik, Warren Beatty and Faye Dunaway telah mengumumkan La La Land sebagai pemenang sebelum kemudian mengumumkan, penerima sebenar anugerah tersebut ialah filem Moonlight.
Anda mungkin tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang terjadi? Mustahil sekali anugerah berprestij seperti Anugerah Academy melakukan kesilapan yang (hampir-hampir) tidak dapat dimaafkan, apatah lagi untuk anugerah terpenting yakni kategori Filem Terbaik.
Benjamin Bannister, penulis blog Life From A Different Perspective, merumuskan apa yang sebenarnya terjadi malam tersebut:
  1. Warren Beatty dan Faye Dunaway muncul sebagai penyampai anugerah untuk kategori Filem Terbaik, tetapi telah diberikan sampul yang salah, iaitu sampul bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik yang disampaikan sebelumnya.
  1. Warren ingin membaca kad yang berada dalam sampul tersebut, tetapi terhenti untuk seketika dan sebelum menyambungnya semula. Pada ketika itu, dia kelihatan keliru malahan seperti tercari-cari kad lain di dalamnya.
  1. Warren kemudiannya menunjukkan semacam satu isyarat kepada Faye Dunaway yang berada di sebelahnya; suatu reaksi seperti mahu bertanya “betul ke ni?”
  1. Faye Dunaway, belum apa-apa lagi secara automatik terus membacakan kad tersebut (dan dia kelihatan hanya membaca sepintas lalu) lalu terus mengumumkan pemenang Filem Terbaik– La La Land.
Kali terakhir kesalahan mengumumkan pemenang sebegini terjadi dalam majlis penganugerahan yang besar ialah kesilapan memahkotakan ratu cantik dunia dalam Miss Universe 2016. Namun dalam sejarah penganjuran Oscar, ini ialah pertama kali. Apa-apa pun juga punca dan sebabnya kejadian memalukan tersebut berlaku, satu hal yang pastinya semuanya berpunca daripada satu perkara: tipografi.
“Typography is the art and technique of arranging type to make written language legible, readable, and appealing when displayed” — Wikipedia
Perhatikan, menurut definisi ini sahaja, ada tiga ciri tipografi yang ‘dicabuli’ oleh Academy iaitu legiblereadable (mudah dibaca) dan appealing (menarik).
American Boradcasting Company (ABC)
Perhatikan, tulisannya meskipun dapat dibaca, tulisannya berjarak sekata tetapi tulisan antara nama filem “Moonlight” kelihatan sama imbang dengan nama produser yang mengikuti baris bawahnya. Kad pemenang ini, meskipun hanya nama pemenang, tetapi secara tipografinya tidak begitu menonjol dan tidak menarik perhatian mata.
Benjamin juga telah merekonstruksi nama kad pemenang yang mungkin diterima mereka (dalam sampul yang salah tersebut) iaitu sampul bagi Pelakon Wanita Terbaik (Best Actress).
Melihatkan selera tipografi yang begitu teruk dan tidak meyakinkan itu, sesiapa sahaja akan tersalah baca jika dilihat dengan sekali pandang, di hadapan ribuan orang di dalam dewan dan jutaan manusia yang menonton di kaca televisyen. Ditambah dengan rasa gemuruh lagi.
Dalam keadaan begitu, dari sudut hierarki visual, seseorang akan membaca dari atas ke bawah tanpa mempersoalkan tepat atau tidak kad tersebut. Tidak peliklah Warren daripada riak wajahnya seolah-olah ingon memberitahu Faye “psst, hei, kenapa kad ini nama Emma Stone?”. Faye yang tampaknya tiada masa dengan lawak buat-buat Warren (setidak-tidaknya dia menganggap begitu) dan terus mengumumkan, “La La Land.”
Secara umum, ada tiga kesalahan penting dalam kad pemenang tersebut:
  1. Logo “The Oscars” terlalu besar. Semua orang tahu ini acara Oscars, justeru logo Oscars tidak perlu diletakkan di atas.
  1. Nama kategori, “Best Actress” terletak di sebelah bawah kad, ditulis dengan tulisan kecil ya amat!
  1. Nama pemenang, ditaip seimbang dengan nama kategori, dan ditebalkan nama pemenang yang menerima anugerah tersebut.
Sekarang cuba perhatikan, kad nama pemenan versi yang telah diubah suai dengan mengekalkan elemen yang sama daripada kad pemenang yang asal:
Mungkin jika dilihat sekali imbas sahaja, tidak banyak bezanya. Tetapi dengan mengubah sedikit sebanyak saiz, tataletak, ketebalan teks mungkin akan dapat mengelakkan insiden yang memalukan pada malam tersebut. Lihat pula perbandingan jika kedua-dua (kad asal dan kad versi ubah suai) diletakkan sebelah menyebelah:
  1. Logo Oscar dialihkan ke bahagian bawah kad, kerana nama anugerah tidak begitu penting dalam kad tersebut. Logo tersebut tidak perlu diletakkan di bahagian (namun tidak semestinya perlu dibuang sama sekali)
  1. Nama kategori, “Best Actress” dipindahkan ke atas dan dibesarkan tulisannyasupaya nama tersebut menjadi perkara pertama yang dapat dilihat dan dibaca. Tidak timbul isu keliru.
  1. Nama Emma Stones dibesarkan melebihi nama filem yang dilakonkannnya, “La La Land” kerana beliau yang menjadi pemenang bagi kategori tersebut. Dalam kes kategori filem terbaik (Best Picture), judul filem yang sepatutnya lebih besar berbanding nama produser. Nama pemenang menjadi elemen yang paling patut ditekankan dalam kad pemenang. Faye, malahan ketika mengambil kad pemenang daripada Warren mungkin tidak akan tergesa-gesa terus mengumumkan “La La Land” jika dia ternampak nama “Emma Stone” terlebih dahulu.
Jelas bukan, bagaimana tipografi memainkan peranan yang penting dalam sesuatu reka letak? Perkara sebegini bukan hanya wajar ditekankan kepada pereka bentuk sahaja, tetapi tipografi harus diberi penekanan oleh semua orang, baik dalam penulisan resume atau CV yang tersusun, penulisan laporan agar tampak menarik mahupun dalam mereka letak laman web. Tipografi digunakan dalam hampir semua perkara yang melibatkan bentuk komunikasi.
Apa yang industri buku harus belajar daripada insiden Oscars ini?
Banyak. Tipografi malahan elemen terpenting dalam bidang perbukuan. Jadi industri buku tidak wajar mengulang kesilapan tipografi dalam segenap aspek baik dalam editorial, pemasaran dan hal-hal lain.
Artikel ini dipetik, diterjemahkan dan diubahsuaikan daripada artikel asal di sini. 

You Might Also Like

0 ulasan