Imbasan Ogos-September

Saya sibuk dan blog ini hampir sahaja berhabuk. Oh, sungguh saya terasa macam seorang pemblog yang gagal!

Hampir dua bulan saya tinggalkan Cinta Dominasi Segala, sepi tanpa sebarang kisah, walhal dalam dua bulan itu macam-macam hal dan peristiwa terjadi, pelbagai kegiatan yang saya ikuti. Alasan klise; sibuk. Ya, saya benar-benar sibuk. Peduli apa saya jika ada yang membaca catatan ini, walaupun dia seorang Perdana Menteri misalnya, mengakui dia lebih sibuk daripada saya. Yang saya tahu, dua bulan kebelakangan ini saya sibuk amat, baik sebelum atau selepas masuk UM.

Maklum sahaja seorang penulis; bekerja dengan deadline yang dimahu orang dan deadline yang pandai-pandai letak sendiri. Tambahan pula Legasi Oakheart sudah semakin berkembang, jadi banyak kerja di LO (walaupun sebenarnya sebahagian besarnya sudah banyak dilunasi penasihat dan pengasas utama, Hafiz Latiff dan Sayidah Mui'zzah), sebahagian yang ditugaskan kepada saya harus saya tamamkan. 

Sibuk yang saya maksudkan ialah sampai satu tahap, saya gagal mencari masa untuk saya lakukan apa yang saya suka atau apa yang saya mahu; membaca buku dan berblog misalnya. Oleh sebab saya sudah beberapa bulan terlepas, jadi saya putuskan dalam catatan kali ini, saya rangkumkan imbasan, peristiwa, aktiviti sepanjang Ogos dan September.


1.  Majis Aidilfitri MAMPAN-Yayasan Pahang (18 Ogos 2013)

Belum pun bergelar siswa (pada ketika itu), saya sudah diundang untuk menghadiri Majlis Aidilfitri yang diadakan oleh Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang dan Yayasan Pahang yang turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Haji Yaakob. Majlis sederhana meriah, tetapi saya berasa seronok dapat berkenal-kenalan dengan mahasiswa Pahang dari IPTA seluruh pelosok tanah air.

Tetapi, tiada apa yang lebih seronok daripada perkara-perkara yang lain dalam majlis ini selain cuma satu perkara; YUNA! 

Yuna yang kebetulan bercuti raya di Malaysia, di kediamannya di Kuantan, diundang oleh pihak Yayasan Pahang untuk menghiburkan kami sambil-sambil makan ketupat, lemang dan rendang. Satu perkara yang harus saya puji tentang Yuna ialah dia tidak sombong, murah senyuman dan tak betah melayan peminat. Sehinggakan saya masih ingat, ketika kami berpapasan di satu sudut yang lain (dia baru keluar dari bilik air kalau tak silap), dia masih senyum kepada saya dan saya macam terbungkam sekejap "oh, Yuna ke tadi tu?"

Cuma satu perkara yang tak 'heaven' bila bersama Yuna ialah dia lebih tinggi daripada saya. Titik.


Hitam itu menawan.


Dato' Seri Adnan- ini pertemuan ketiga saya bersama beliau, dan benda yang paling menyeronokkan ialah dia masih cam saya. Terima kasih Dato' Seri!


2.  Majlis Aidilfitri ITBM (20 Ogos 2013)

Mengadiri Majlis Aidilfitri Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM); acara yang awal-awal lagi (mulai tahun ini) saya tandakan sebagai acara wajib tahunan. Tahun ini saya hadir mewakili Legasi Oakheart bersama pengasas-pengasas yang lain; Hafiz Latiff, Sayidah Mui'zzah dan Wafa Awla. Juga hadir atas kapasiti pemenang. Alhamdulillah tahun ini saya menang lagi, dalam pertandingan ulas buku sempena PBAKL anjuran ITBM. Tempat ketiga lagi, yahoo!

Menghadiri acara-acara sebegini seronok, dapat berjumpa teman-teman penulis, malah dapat mengakrabi Sasterawan Negara dan penulis-penulis mapan yang lebih berpengalaman. Dalam majlis ini, ketiga-tiga kawan ini turut mempersembahkan deklamasi sajak mereka daripada buku-buku terbitan ITBM.

Bergambar dengan Pak Samad, malangnya saya cuma berkesempatan berjumpa beliau di hujung-hujung majlis, itupun beliau mahu segera pulang.


Hadiah yang saya terima. Tahun ini tempat ketiga lagi, kedudukan sama seperti tahun lepas. Terima kasih ITBM! 

Selepas majlis kami lepak-lepak di Wangsa Walk. Makan lagi!

3.  Gebang Seni Kreatif LO-SMK Taman Pasir Putih

Kami ke Pasir Gudang lagi. Kali ini ke SMK Taman Pasir Putih pula. Ini kunjungan kedua Legasi Oakheart ke Pasir Gudang selepas kali pertama mengadakan Gebang Seni Kreatif di SMK Tanjung Puteri Resort.

Seperti biasa; kami pergi bertiga. Sayidah Mui'zzah mengendalikan bengkel puisi, saya mengendalikan bengkel cerpen manakala Hafiz Latiff mengendalikan bengkel etika dan terjah media. Alhamdulillah, sambutan di sana memberangsangkan walaupun peserta gebang kali ini rata-rata masih muda, ada yang dari tingkatan satu dan ada juga daripada tingkatan empat.

Rata-rata mereka ada semangat yang tinggi dalam bidang penulisan. Diharapkan segala info dan ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh peserta bengkel. Terima kasih dan selamat menulis!

Selepas berbengkel, kami curi kesempatan singgah ke Muar, berjumpa dengan salah seorang ahli Legasi Oakheart juga, Khaliq Ghazali. Pertemuan 30 minit yang amat singkat, tetapi kami sempat berkongsi pelbagai cerita.

Sebahagian daripada peserta bengkel; daripada pelbagai kaum.
Bersama para peserta (perempuan), selepas bengkel tamat


Ini dia, Khaliq Ghazali, bergambar dengan Legasi keluaran pertama.

4.   Majlis Perasmian Penutupan Kempen #SaySomethingNice

Berkesempatan mewakili Legasi Oakheart menghadiri majlis penutupan kempen #SaySomethingNice yang diadakan di Tropicana City Mall, Petaling Jaya. Majlis ini diadakan bersama sambutan Hari Malaysia sekali gus menutup program kempen #SaySomethingNice yang Legasi Oakheart sertai bermula 31 Ogos sehingga 16 September 2013.

Kempen ini dipelopori oleh Anas Zubedy, daripada Zubedy (M) Sdn Bhd. Dalam majlis ini turut berkesempatan bertemu dengan beberapa insan hebat termasuklah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato' Ameer Mydin, generasi kedua keluarga pengasas Mydin, Mydin Mohamed.

Mereka namakan sebagai Rumah Panjang Hari Malaysia. Unik! Di dalamnya hadirin duduk bersila dan tengok pentas sambil main permainan tradisional. (maaf gambar kabur)


Guess who? Siapa sangka, Dato' Ameer Mydin datang dan duduk betul-betul bersebelahan kami. 


Menandatangani perjanjian menyertai kempen #SaySomethingNice 2014. Yay, Legasi Oakheart akan menyertainya!


Kebulur makanan Jepun, lalu kami singgah Aeon Big memborong sushi. :D

5.  Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi Utusan-UTM dan Malam Suara Kuala Lumpur.

Bersama ahli-ahli Legasi Oakheart yang lain menghadiri Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi di Dewan Bahasa & Pustaka. Bengkel ini diadakan bagi tujuan sayembara sains fiksyen yang memang diadakan setiap tahun. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk turut sama-sama menambah ilmu kepengarangan menulis dalam jaluran yang baharu iaitu sains fiksyen. Menulis sains fiksyen ternyata tak mudah dan memerlukan penyelidikan.

Sebelah malamnya pula memenuhi undangan Malam Suara Kuala Lumpur yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur, berhampiran Dataran Merdeka. Saya dan beberapa ahli Legasi Oakheart yang lain diundang untuk mendeklamasikan puisi, dan saya memilih untuk membacakan puisi Sasterawan Negara Baha Zain, Akulah Kuala Lumpur. 

kredit foto: FB Legasi Oakheart


6 ulasan:

wanariahamiza berkata...

Aktif! Teruskan berusaha Shamsul Amin yang hebat!

Shamsul Amin berkata...

Wanariahamiza;

Terima kasih. Tapi tak mampu seaktif kamu dalam berblog. :)

kacang buncis berkata...

salam kenal...first time visit sini moga2 awak berjaya dalam dunia blog ini..:)amin

Shamsul Amin berkata...

kacang buncis;

Terima kasih. Salam kenal juga.

mohamad syafiq berkata...

salam perkenalan dr sy shez.I wish u success in whatever you are doing now.

mohamad syafiq berkata...

salam perkenalan dr sy shez.I wish u success in whatever you are doing now.

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut