Rakaman Sehari di PBAKL 2013


Tahun-tahun awal saya berkunjung ke PBAKL, saya hanya hadir sebagai seorang pelajar. Lama kelamaan, tahun ke tahun, qasad itu berubah kepada pencinta buku, bakal penulis sehinggalah tahun-tahun terkini; sebagai seorang penulis. Tahun lepas, secara peribadi saya merakamkan tahun itulah tahun saya mula mengenal bagaimana seorang penulis berjalan dalam sebuah temasya buku; berjalan dari gerai ke gerai mengenal rumah penerbitan dan sudah pandai bertegur sapa dengan mana-mana penulis senior yang berselisihan.

Juga, belajar untuk menjadi selektif memilih bahan bacaan.

Tahun ini saya hadir lagi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2013. Kali ini saya hadir benar-benar pada hari terakhir; dan kali ini barangkali sebagai penulis dan penterlibat juga. Legasi Oakheart mengadakan program bual bicara Gebang Naskhah Legasi Oakheart di sofa putih pada hari yang sama. Jadi, bagi memenuhi kapasiti diri sebagai ahli LO, maka saya wajikan diri hadir ke program tersebut.

Juga berkesempatan melepaskan rindu untuk bertemu dengan adik-beradik LO yang lain. Kami masing-masing berjauhan, jadi kesempatan untuk berkumpul begini, duduk-duduk bersembang sambil membuka cerita daripada poket gosip masing-masing di sofa putih memang mengujakan!

Di pesta buku pada hari terakhir ini juga saya menyaksikan tiga kejayaan LO. Pertama; Cantuman Mimpi mencatat kejayaan sold-out berhari-hari di booth ITBM, malah tercatat sebagai buku kedua terlaris! Pstt..pst.. khabarnya juga, Cantuman Mimpi kini hanya tinggal beberapa dalam stok ITBM! Saya teruja!

Kedua; Retrospeksi juga memasuki senarai top ten best-seller di gerai ITBM. Ramai yang berkata membaca Retrospeksi amat menyenangkan, puisinya mudah tetapi punya pemikiran. Ketiga; ITBM memberi peluang kepada kami Legasi Oakheart, satu-satunya kelompok penulis muda yang diberikan peluang untuk mengadakan program di sofa putih; satu peluang yang tidak pernah diperoleh golongan penulis muda. Semoga usaha ini dapat menyemarakkan usaha penulis muda untuk mengembangkan kesusasteraan tanah air. Terima kasih ITBM!

Dalam program Sofa Putih (episod terakhir bagi siri ini) juga saya berpeluang bertemu dengan ayahbonda kembara saya di London iaitu Encik Wan Hulaimi (Awang Goneng) dan Zaharah Othman (Kak Teh) yang ditemu bual oleh Sayed Munawar. 

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan tidak bertemu, kedatangan Encik Wan dan Kak Teh amat mengujakan! Kami berpeluang untuk minum semeja, berkongsi cerita, malah sempat 'menyedut' video-video yang dirakam Kak Teh di London. Pertemuan sehari terasa sungguh singkat mengubat rindu sebulan!

Sesi Gebang Naskhah Legasi Oakheart di sofa putih. Fathul Khair bertindak sebagai moderator, dari kiri Hafiz Latiff, Sayidah Mui'zzah dan Nora Nabila. Merek membicarakan naskhah-naskhah Legasi Oakheart dan menerangkan serba sedikit tentang hala tuju, matlamat, polisi dan harapan Legasi Oakheart.  (kredit foto: FB ITBM)
Bersama editor di Dewan Bahasa & Pustaka, Encik Armin yang membeli kedua-dua naskhah Cantuman Mimpi dan Retrospeksi. Terima kasih! (kredit foto: Sayidah Mui'zzah)
Beginilah kami di gerai ITBM, menjerit-jerit mempromosikan naskhah-naskhah LO (malah terbitan ITBM yang lain juga). Saya awal-awal lagi gatal mulut hendak menjerit apabila terikut-ikut cara petugas-petugas ITBM mempromosikan potongan 50% bagi semua buku. Ya, semua buku! (kredit foto: Sayidah Mui'zzah)
Ayahbonda kembara kami; Awang Goneng dan Zaharah Othman di sofa putih. Kak Teh membawakan kami gula-gula coklat maha manis dari London untuk dikongsikan. Sungguh manis!

Saya tiada dalam gambar kerana entah ke mana. Tetapi, lihatlah senyuman mereka; penulis-penulis LO bersama editor; Zalila Isa yang manis senyumannya dan designer kami Iqmal B Asbar yang kacak bergaya!

Bergambar di back-drop sofa putih yang ekslusif.

PBAKL tahun bila agak-agaknya baru saya dapat diwawancara di sofa ekslusif ini? ;p

Melayan peminat cilik berusia 11 tahun yang membeli Cantuman Mimpi. Kagum! 

Saya fikir kepada sesiapa yang tidak ke PBAKL pada hari terakhir ini (lebih-lebih lagi kepada yang tidak singgah ke gerai ITBM) sangat rugi besar. Kerana:

1) Anda terlepas menikmati potongan 50% bagi semua buku (yang sebelum ini hanya dinikmati penulis-penulis ITBM)
2) Tidak dapat menyaksikan sofa putih bersama Awang Goneng dan Zaharah Othman yang diterbangkan khas dari London.
3) Terlepas sesi gebang bersama Legasi Oakheart di sofa putih membicarakan Cantuman Mimpi, Retrospeksi dan Anti Realiti.
4) Barangkali juga terlepas peluang untuk memenangi percutian 4H3M ke London!

Pada hari tersebut, saya puas turut sama menjerit bersama staf-staf ITBM dan penulis LO yang lain mempromosikan potongan gila kaw kaw ini. Terima kasih kepada pihak ITBM kerana memberi peluang kepada penulis muda seperti kami untuk memeriahkan pesta buku kali ini. Juga terima kasih kepada semua pembeli naskhah-naskhah LO, dan juga kepada semua yang sudi singgah ke acara Gebang Naskhah Legasi Oakheart petang tersebut.

Terima kasih semua!

1 ulasan:

tenku butang berkata...

124

done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut