Cerita-Cerita Manusiawi dan Jati Diri Islam dalam Ayam Patah Kepak



Judul buku : Kumpulan Cerpen Ayam Patah Kepak
Pengarang : Hafizah Iszahanid
Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Tahun terbit: 2013
Jumlah halaman: 153 muka surat
Harga : RM 20.00
( No resit : ITBM 02001467 )


Imej silhouette seorang lelaki dengan destar tradisi Ayam Patah Kepak di kepala yang melatari muka depan Kumpulan Cerpen Ayam Patah Kepak, seolah-olah awal-awal lagi mengingatkan pembaca bahawa naskhah ini mewakili tiga perkara; kemanusiaan, jati diri Melayu-Islam dan sejarah. Ketiga-tiga unsur ini diadun sempurna menerusi 13 buah cerpen dengan pelbagi tema yang dihimpunkan dalam kumpulan cerpen ini.

Pengarang naskhah ini, Hafizah Iszahanid, dengan bijaksana memanfaatkan rangsangan yang dekat dengan dirinya- seni gunaan, ilmu perubatan dan isu antarabangsa untuk ditumpahkan dalam karya. Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ini bagaimanapun masih tekal memperjuangkan isu sejagat dalam setiap cerpen yang ditukangi beliau iaitu nilai kemanusiaan dan jati diri sebagai Islam.

Naskhah ini dimukaddimahkan dengan cerpen Adiba Seorang Ultraman, yang mengisahkan tentang seorang wanita gelandangan bernama Adiba, yang kematian suami dan kehilangan anak-anak, yang berjuang untuk bebas daripada penagihan dadah dan mahu segera sembuh daripada penyakit HIV dengan bantuan watak 'saya'- seorang doktor perubatan. Menariknya, kekuatan Adiba mendepani prejudis masyarakat ditamsilkan seperti Ultraman, "Tetapi, seperti Ultraman yang bisa bangkit walaupun selepas butang merah di dadanya bernyala dan selepas digodam raksasa sehingga lembik, Adiba datang ke pintu klinik saya kali ketiga" (m/s 5).

Cerpen Ayam Patah Kepak pula mengetengahkan kegagalan segelintir anak muda dalam memahami ideologi komunisme akibat tidak mengambil iktibar daripada sejarah. Secara ironi, pengarang mengandaikan kegagalan watak Riyyan, pemuda berusia 22 tahun dalam memahami ideologi ini umpama kegagalan meneladani peristiwa pembunuhan Tun Besar pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Nama Saya Ling Mei Ling pula menampilkan jati diri sebagai Islam yang dimiliki seorang wanita Cina-Muslim sekali gus menentang kegoyahan suaminya yang membelakangkan hukum-hakam dan perjuangan Islam demi menegakkan hak asasi manusia yang berasaskan undang-undang ciptaan manusia yang artifisial.

Hafizah Iszahanid juga secara hikmah membaurkan nilai-nilai feminisme dalam dua buah cerpennya; Hati Yang Parah dan Menjadi Perempuan. Dalam Hati Yang Parah, pengarang melalui persona 'saya' menceritakan kekecewaan beliau sebagai wartawan terhadap watak Zana, seorang Muslimah keliru yang tidak dapat mempertahankan jati diri Muslimahnya dan lebih cenderung menghukum masyarakat di sekeliling. Menjadi Perempuan pula mengetengahkan obsesi masyarakat purba China terhadap kecantikan melalui amalan mengikat kaki (chanzu) dan persamaannya dengan masyarakat kini yang turut obses terhadap kecantikan sehingga sanggup mengubah ciptaan Tuhan.

Cerpen Istimewa, yang memenangi Hadiah Utama Kategori Cerpen, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 (HSKU 2011) pula memperihalkan hak istimewa Melayu-Islam di tanah air yang dikatakan menghantui hidup 'saya'. Bagaimanapun demi memenuhi keperluan peribadi yang mendesak, 'saya' bertindak nekad membunuh Istimewa. Hal ini memperihalkan kegoyahan 'saya' dalam mempertahankan jati diri sebagai Melayu-Islam bagi melenyapkan dilema yang sering membayangi hidupnya.

Cerpen Hanyalah Jika Mereka Bisa Mendengar! pula menggarap tema kekeluargaan sebagai tunjang cerita. Cerita ini menaratifkan kisah bagaimana sebuah institusi kekeluargaan menjadi goyah akibat salah faham antara ahli keluarga dalam memahami sejarah dan prinsip perjuangan bangsa. Uniknya, menerusi cerpen ini, pengarang turut memetik kandungan daripada naskhah tradisonal Melayu seperti Misa Melayu dan syair karangan Raja Ali Haji.

Tiga cerpen lain iaitu Kami Bertemu Di Brussels, Dalam Dakapan New York dan Lari Dari Katrina memanfaatkan landskap luar negara sebagai latar cerita. Pengarang bagaimanapun masih menampilkan watak tempatan sebagai penggerak cerita untuk menggambarkan jati diri Islam yang masih wujud di tengah-tengah kota utama dunia, yang sentiasa dicabar oleh impak globalisasi, terutama pada era pasca-9/11.

Cerpen Ryan dan RM 200 000 pula mengisahkan seorang dotor bernama Ryan yang sanggup membelakangkan hukum Tuhan dan etika perubatan demi memenuhi keperluan songsang seorang penyanyi popular yang mahu mendapatkan cahaya mata tanpa bernikah menerusi kaedah in-vitro fertisilisation (IVF). Cerpen Namanya Willem de Kooning pula menceritakan transformasi seorang Mat Rempit menjadi politikus bergelar wakil rakyat yang merasakan dirinya gagal mempertahankan hak-hak bangsa sendiri di pentas siasah kebangsaan.

Cerpen terakhir, Pala Tumpa' Kayau Indau bercerita tentang kesungguhan seorang pereka fesyen, Hanis, wanita berketurunan Iban dalam memperkenalkan rekaan pua di pentas peragaan fesyen dunia. Cerpen ini memperlihatkan kekukuhan jati diri Hanis sebagai Muslim saudara baru dalam mengekalkan konsep busana Muslimah bersama nilai tradisi pua, seiring dengan keimanan baru yang dianutinya.



Kesemua cerpen ini digerakkan oleh dua proksi jenis watak yang berbeza; yang kukuh dan yang goyah jati diri Islamnya. Setiap watak yang dihidupkan Hafizah Iszahanid menerusi cerpen-cerpen garapan beliau memberikan impak tersendiri kepada pembaca. Kebanyakannya menjentik rasa, menyerang peribadi pembaca secara sinikal malah seolah-olah mengajak pembaca untuk bermuhasabah dan menginsafi sejauh manakah pembaca telah mempersiapkan diri dengan nilai-nilai kebaikan dan perjuangan selaras dengan aspirasi Islam itu sendiri.

Langgam penceritaan pengarang juga bersifat sederhana dan mudah untuk dihadam khalayak pembaca. Kebanyakan cerpen dalam naskhah ini menggunakan gaya bahasa yang sederhana- tidak terlalu puitis tetapi masih memperlihatkan sisi-sisi romantis. Pada sesetengah bahagian, pengarang juga memperlihatkan unsur kecindan yang ringan namun masih boleh membuatkan pembaca tercuit dan terhibur. 

Kumpulan cerpen ini sarat dengan didaktik dan nilai-nilai murninya. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan naskhah ini wajar dimiliki oleh masyarakat dalam negara ini terutama pembaca-pembaca Melayu sebagai manual untuk mempersiapkan diri menjadi Muslim yang lebih berwibawa dan berjati diri.

Kumpulan cerpen ini merupakan dokumentasi dekad pertama keberadaan Hafizah Iszahanid dalam pentas kesusasteraan tanah air. Seperti mana kata beliau dalam ruangan 'kata penulis' naskhah ini, kewujudan kumpulan cerpen ini adalah untuk menghimpunkan sejumlah pemikiran dan juga sebuah testimoni beliau sebagai pengarang kreatif. 

Ternyata memiliki kumpulan cerpen Ayam Patah Kepak tidak merugikan, malah pelbagai ilmu baharu dapat diserap pembaca sebagai persediaan menghadapi cabaran-cabaran yang bakal didepani dunia Islam masa kini dan juga akan datang. 

0 ulasan:

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut