Berbengkel di SMK Tanjung Puteri Resort


ALHAMDULILLAH, pada 11 Mei yang lepas, saya bersama rakan-rakan Legasi Oakheart yang lain berkesempatan mengadakan bengkel penulisan kreatif di SMK Tanjung Puteri Resort (SMKPTR), Pasir Gudang, Johor Darul Takzim. 

Peluang mengadakan bengkel di SMKTPR sebenarnya dilorongkan oleh guru saya, Cikgu Siti Nazirah Sulaiman, yang akhirnya membuka ruang kepada saya sendiri untuk bertemu dengan beliau; guru dan anak murid yang lebih setahun tidak bertemu. Beliau, yang saya mesrai dengan panggilan Cikgu Iera, merupakan guru saya sewaktu di Tingkatan Enam Bawah dalam subjek Bahasa Malaysia, juga merupakan guru pengiring kami ke Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010. 

Pertemuan setengah hari pada hari itu, kami banyak berkongsi cerita dan kisah. Sungguh pertemuan ini sungguh mengujakan.

Alhamdulillah, dalam bengkel kali ini saya berkesempatan mengendalikan bengkel cerpen manakala Sayidah Mui'zzah mengendalikan bengkel puisi. Slot Terjah Media dan Etika pula ditangani oleh Hafiz Latiff. Alhamdulillah, ketiga-tiga bengkel berjalan dengan lancar dan dapat diterima dengan baik oleh para peserta bengkel dan guru-guru yang terlibat.

Bersama Cikgu Iera.

Lebih membanggakan, dalam ketiga-tiga bengkel, saya dapati peserta bengkel langsung tidak tidur dan masing-masing menumpukan sepenuh perhatian! Saya yakin dan percaya, setiap seorang yang datang pada hari itu tidak mahu mensia-siakan kehadiran mereka ke bengkel kami. Mereka datang dengan potensi, di dada mereka ada minat membara dan mereka punya wawasan tinggi.

Mereka masing-masing, cuma seorang budak sastera, yang kelas mereka dikebelakangkan. Potensi mereka selalu direndah-rendahkan. Sebagai seorang pelajar yang berpengalaman nekad separuh mati mengambil subjek Kesusasteraan Melayu seorang diri, saya terpanggil untuk meyakinkan mereka, pelajar sastera tidak semata-mata pelajar yang tertinggal atau tercicir, malah ada banyak potensi pada pelajar sastera yang tidak ada pada pelajar sains. Percayalah!

Wajar dimaklumkan, kelompok pelajar ini daripada kelompok luar bandar. Tetapi, dalam hal-hal berbengkel terutama bengkel sastera sebegini, mereka tidak banyak mengeluh dan tak lekas jelak. Berbanding pelajar-pelajar 'sekolah pandai' (sekolah elit, berasrama penuh dan sebagainya), sambutan terhadap program sebegini hambar. Mereka di sini berjiwa besar. Saya kagum!

Buat adik-adik yang datang berbengkel tempoh hari, harapan saya (dan kami di Legasi Oakheart juga), apa-apa yang telah dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Kalian ramai yang berpotensi besar. Kalaupun dalam ramai-ramai yang hadir tidak semuanya menjadi penulis, tetapi sekurang-kurangnya kesemua mereka menjadi orang yang pandai menghargai nilai kesusasteraan dan hasil karya; tidak buta seni dan tahu mengapresiasi.

Buat adik-adik SMKTPR, selamat memulakan langkah dan selamat datang ke dunia penulisan yang warna-warni, selamat menulis!

0 ulasan:

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut