Big Bad Wolf: Serigala Buku Menyerang Kuantan!


Serigala buku menyerang lagi, kali ini di Kuantan pula, di tempat saya. Big Bad Wolf kini berada di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), Zenith Hotel Kuantan bermula 25 April hingga 29 April 2013.

Seperti biasa, saya meneruskan agenda borong-memborong buku kali ini, dan sekali lagi, dengan isi poket yang terhad. Ini kali kedua saya ke BBW, kali pertama pada akhir tahun dahulu, ketika BBW diadakan secara besar-besaran  di Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC), Serdang. Kegigihan saya bersama rakan penulis, Muzammil Rahim  meredah hujan panas untuk ke BBW pernah saya catatkan di Cinta Dominasi Segala, di sini. 

Pada saya tidak banyak berbeza BBW di Kuantan kali ini dengan BBW di Serdang dahulu, jika dinilai dari sudut jumlah buku yang dipamerkan (kerana saya membandingkan ruang SASICC dengan MIECC yang lebih kurang besar). Buku-buku yang dipamerkan juga hampir sama sahaja dengan apa yang pernah saya lihat lewat BBW sebelumnya.

Cuma jika ada yang berbeza, barangkali BBW yang saya kunjungi sebelum ini lebih meriah dan lebih ramai pengunjungnya. Bayangkan setiap seorang mengusung berkotak-kotak buku malah ada beberapa pengunjung tanpa silu mengusung bagasi yang besarnya seperti orang mahu ke London, hanya semata-mata untuk membeli buku.

Barangkali, kemeriahan yang saya tanggapi ini tidak meriah kerana kunjungan saya adalah pada hari pertama. Saya mahu lihat hari kedua, hari ketiga dan sampai ke akhirnya. Bagaimana agaknya penerimaan masyarakat Kuantan terhadap BBW.

Memilih buku

Ruangan buku kanak-kanak paling memikat saya. Ruangan fiksyen lebih banyak buku pop dan buku romance untuk young adult.

Aneka buku kanak-kanak.

Buku pop-up kanak-kanak. Hampir kesemua buku pop-up saya cuba dan terfikir alangkah baik jika industri buku negara memperbanyak buku-buku yang baik sebegini.

Glee!

Buku-buku yang menarik minat. Dalam lautan buku pop dan romansa, syukur terselit buku pemenang Hadiah Nobel berjudul "The Loss of El Dorado"

Ternyata buku-buku di BBW kali ini tidak banyak yang menarik minat melainkan cuma buku kanak-kanak dan buku non-fiction. Buku-buku fiksyen di sini lebih tertumpu kepada buku romance dan buku-buku popular, seperti mana kunjungan ke BBW terdahulu. Saya terfikir alangkah baik jika pihak penganjur BookXcess memperbanyak buku-buku Literature. Barulah kembara buku kali ini terasa sensasinya seperti mana berjalan-jalan di kedai-kedai buku di London tempoh hari!

Oleh itu, tumpuan saya kali ini lebih kepada buku kanak-kanak. Mata saya juga ligat mencari buku-buku book-of-films dan buku-buku biografi; suatu rutin baharu saya setiap kali berkunjung ke mana-mana kedai buku lewat kebelakangan ini. Ini sensasi baharu saya selain mencari buku-buku sastera.

Dan, saya juga harus akur dengan perbelanjaan yang terhad. Jadi, untuk hari pertama, saya hanya mencapai sebuah buku dan bayar di kaunter, dibawa ke pulang dengan azam akan kembali lagi dua tiga hari berikutnya untuk meneruskan 'ritual' biasa dalam acara pesta buku; membeli buku sepuas-puasnya!

3 ulasan:

aniszcenna berkata...

Assalamualaikum...
saya tumpang seronok baca catatan saudara ni.. saya ke BBW tiga kali sepanjang BBW diadakan di Kuantn ni!

Shamsul Amin berkata...

Aniszcenna,

Saya gembira kerana saudari sudi berkongsi keterujaan saudari di sini. Saya pasti, saudari juga pencinta buku seperti saya!

Rozita berkata...

saya pencinta buku juga.. tapi dah terlepas pesta buku terbesar ni...ruginya...

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut