Listen, Listen, Listen





Viral Sharifah Zohra vs Bavani KS nampaknya semakin menular luas dan kadang kala menakutkan juga. Laungan "listen, listen, listen, listen" jadi bahan jenaka se-Malaysia. Fuhh, di Twitter, di Facebook dan di mana-mana sahaja, masyarakat Malaysia memperkatakannya. UUM, Sharifah, dan Bavani sekelip mata jadi popular.

Sebenarnya, saya tidak mahu mengulas panjang tentang isu ini. Pertama kerana sejak semalam, ketika video ini mula diperkatakan, saya sudah mula memberikan reaksi di Twitter. Kedua saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak bijaksana memberikan pandangan. Ya, saya faham jika isu ini dijenakakan, tetapi menghukum dan menurut membabi buta juga bahaya. 

Bagi saya, kedua-dua figura ini, Sharifah dan Bavani ada betul salahnya. Bavani yang berani memprovok tetapi miskin susila dan tersalah caturan dan Sharifah Zohra yang arogan dan tidak bijak melawan hujah. Pertembungan dua figura ini sebenarnya amat dahsyat dan menakutkan sehingga mengheret haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, kambing, lembu dan ikan jerung terbabit sama. Tolol sungguh.

Saya tidak perlu menghuraikan dengan terperinci apa yang terjadi, video speaks louder than my post, I think.  Anda masyarakat Malaysia yang lebih bijak saya kira, dari sudut situasi, kita amat arif tentang bagaiman rasa dimalukan dalam sebuah majlis besar tidak patut terjadi kepada seorang mahasiswa dan seorang dewasa yang berpendidikan tinggi tidak sepatutnya merendah-rendahkan dan mempersoalkan attitude seorang mahasiswa sedangkan kita sendiri berlagak sombong tak tentu tempat. 

Dan anda tentu lebih faham, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah. Bukan dengan listen, listen, listen, menarik mikrofon dan bercakap tentang masalah haiwan. 

Bercakap tentang Miss Bavani; saya secara peribadi mengagumi keberanian beliau, mengagumi beliau yang bersedia denga fakta (meskipun dengan fakta yang pincang) dan kelantangan beliau menyatakan pendapat. Tetapi maaf, saya tidak dapat menghormati cara beliau yang provokatif, emosional, dan tiada susila. 

Kita perlu faham, mahasiswa sekarang semakin bijaksana dalam berfikir dan memandang situasi. Meskipun kadang kala tidak intelek, tetapi kita perlu faham pelajar sering berdiri dengan persoalan. Semenjak prasekolah kita hidup dengan falsafah ilmu yang paling basis, iaitu daya inkuiri. Budak tadika, pelajar sekolah, mahasiswa hatta seorang profesor pun sering hidup dengan persoalan "mengapa, mengapa, dan mengapa". Sama seperti Bavani yang mempersoalkan tentang pendidikan percuma dan sebagai seorang dewasa, soalan tersebut sepatutnya ditangani dengan lebih molek dan santun oleh Sharifah.

Saya malas bercakap tentang pendidikan percuma kerana boleh membawa polemik besar. Saya secara peribadi tidak menyokong sepenuhnya pendidikan percuma wajar di Malaysia kerana memahami kondisi ekonomi Malaysia dan perbezaan sistem pendidikan di banyak negara di seluruh dunia.

Sebenarnya banyak negara yang disebutkan Bavani tidak lagi menjalankan sistem pendidikan percuma dan kebanyakan negara yang mengamalkan sistem pendidikan percuma sebenarnya bersandarkan sistem ekonomi yang rigid; cukai yang tinggi, sumber perbelanjaan yang besar dan pengenaan tax yang bermacam-macam. Ditambah pula dengan realiti sosial di negara-negara tersebut; kelainan sistem dan dasar pendidikan, kadar literasi dan bermacam-macam lagi.

Sebelum lebih ramai yang terpekik terlolong bercakap tentang pendidikan percuma, Google sentiasa percuma dan anda tahu apa yang harus anda lakukan, rakyat Malaysia yang bijaksana.

Bercakap tentang Sharifah pula, huh, saya tidak tahu apa masalah beliau tetapi yang pasti semua kita tahu dia memang bermasalah. Menarik mikrofon, memalukan dan memperlekehkan seorang mahasiswa saya lihat semacam eskapisme bagi beliau. Sharifah sebagai seorang lebih dewasa (malah seorang sebagai seorang pensyarah) sepatutnya pandai bermain tarik tali. Bavani (yang provokatif dan emosional) sepatutnya ditangani dengan sikap yang lebih profesional dan toleransi.

Saya tak tahu jika Sharifah Zohra memang dilahirkan arogan, berlagak sombong dan lebih suka bercakap daripada mendengar; ini semua bukan ciri-ciri seorang pendidik yang baik. Sharifah sepatutnya lebih maklum tentang falsafah ilmu dan lebih memahami seni perdebatan. Menarik mikrofon dan bercakap tentang haiwan dengan nada bongkak dan berlagak adalah tindakan bodoh!

Dan, seumur hidup saya, baru saya tahu ikan jerung ialah haiwan paling bermasalah! Bercakap tentang haiwan ialah babak paling sadis dalam episod filem hindustan kali ini. Saya tidak nampak apa correlation antara hak asasi manusia dengan hak-hak haiwan. Hei, haiwan hidup dengan tabii dan manusia hidup dengan fitrah, manakan sama!

Ya haiwan ada masalah, manusia pun ada masalah. Tetapi membandingkan tabii haiwan dengan fitrah manusia ialah perkara yang paling dangkal dalam isu ini. Manusia sentiasa menuntut perkara yang lebih baik dan menyukai jalan pintas; itu perkara biasa kerana itu sememangnya lumrah manusia. Tetapi fitrah manusia perlu disesuaikan dengan keadaan. 

Sekian sahaja pendapat saya yang baru habis sekolah. 

Saya tidak mahu lagi bercakap tentang isu ini. Selain 'listen' dengan isu 'listen', kita semua ada banyak lagi tuntutan hidup yang perlu di'listen'kan. 

0 ulasan:

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut