Pengikut

28 Ogos 2011

Menahan Diri



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Semoga kita sama-sama dalam lindungan rahmat-Nya dan dibebaskan dari azab api neraka sempena fasa terakhir bulan Ramadhan Kareem, dan semoga kita sentiasa menjadi orang yang bersyukur dengan apa sahaja yang hadir dalam hidup kita. Apa sahaja. 

Catatan ini mungkin hanya bersifat luahan hati, lintasan hati dan catatan peribadi. Saya cuma mahu berkongsi.

Kalau ditakdirkan waktu mampu diputarkan semula, sesiapa pun mahu kembali ke titik mula. Hakikatnya, ruang masa yang kita ada, itu sahajalah yang ada. Kalau kita sudah melaluinya, lalui sahajalah.

Itu yang selalu saya sematkan dalam diri. Yang memilihnya kita. Yang nekad mahu meredahinya juga kita. Maka kita jugalah yang akan menyanggupi apa-apapun yang akan kita lalui. Ya, perit. Tetapi begitulah, lalui sahajalah. Tiada jalan patah semula. Kita cuma hanya mampu berpaling dan melihat apa yang telah terjadi.

Yang saya maksudkan ialah betapa rugi saya menolak peluang dahulu. Untuk memenuhi impian sendiri, impian orang lain saya korbankan, lebih-lebih lagi orang lain itu ialah orang terpenting dalam hidup saya. Menolak Australia dan memilih untuk menyayangi sekolah dan memilih Tingkatan Enam bukan satu keputusan mudah. Kesannya sangat besar dalam hidup saya, sehingga sekarang. Malas bercerita panjang cerita lama, rujuk sahaja di sini

Semakin kita bercerita tentang perkara yang sudah berlalu, semakin hati kita menjadi perit. 

Jujur, saya tak pernah menyesal. Saya untung kerana saya mendapat apa yang saya mahu. Tetapi saya tak boleh sembunyi dan harus mengaku bahawa saya rasa rugi. Saya ada peluang untuk menyenangkan dan membahagiakan orang lain. Tetapi saya melepaskan peluang itu begitu sahaja. Saya terkilan sendiri.

Kata pengetua baru kami, Puan Hajah Robiah, "kalau kita memilih untuk membahagiakan orang lain, memenuhi kehendak ibu bapa berbanding keperluan kita sendiri, Allah akan membahagiakan kita."

Allah menarik kebahagiaan itu daripada saya. Saya rasa kosong dada. Tepu minda, tapi hampa di jiwa. Saya masih mampu bergelak ketawa sepanjang masa, tapi hakikatnya hati saya duka. Saya rasa kekurangan sesuatu.

Karma memerangkap saya atas apa yang telah saya lakukan. Saya tahu itu yang terjadi sekarang. Saya mendapat apa yang saya mahu. Tetapi saya tidak bahagia melaluinya.

Saya seronok berada di SMKAP, rutin belajar dan bertemu dengan orang-orang yang saya sayang; guru-guru, dan rakan-rakan yang membahagiakan. Tetapi saya menghadapi rutin yang saya tak mahu melaluinya lagi. 7.00 pagi sehingga 6.30 petang saya di sekolah. Sepanjang tempoh itu saya menjadi saya. Seterusnya sehingga esok pagi, saya mendepani rutin asrama yang bukan lagi kena dengan jiwa saya.

Allah meletakkan dalam diri saya perasaan kurang senang kepada kebanyakan orang, dan saya menjarakkan diri dengan mereka atas dasar perasaan. Itu juga ketidakbahagiaan.

Tetapi saya melaluinya dengan dada iman yang terbuka. Saya nekad memilihnya, dan saya harus melaluinya dengan cekal. Saya yang memilih untuk tidak bebas, saya yang memilih untuk meletakkan apa-apa perasaan dalam diri. Jadi saya harus melaluinya. Sekalipun ketidakbahagiaan datang, yang bahagia-bahagia itu yang lebih saya kenang di sini.

Justeru, saya menahan diri. Sampai suatu saat, saya yakin, kesabaran ini menghasilkan sesuatu.

Allah ajarkan saya supaya menahan diri.

Menahan diri. Semoga Allah memberi saya sesuatu dengan ketahanan ini.
-
-
-
^_^


2 ulasan:

ANGIN ANGAN berkata...

em.. berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.. semoga diberikan jalan keluar yang terbaik bagi masalah yang dihadapi.. aminn

Tanpa Nama berkata...

Ya, mungkin karena itu

 
;