Pengikut

06 Ogos 2011

Kemelut Dawama dan Riben Hitam Saya





Seluruh industri perbukuan negara kecoh dengan kemelut kewangan yang didepani syarikat konsesi percetakan dan pemasaran majalah dan buku DBP, Dawama Sdn Bhd. Dawama katanya mendepani krisis kewangan sehingga terpaksa memberi notis cuti 'boddo' sempena Ramadhan (tanpa gaji) kepada lebih 400 orang kakitangannya yang asalnya merupakan sebahagian penjawat awam di DBP (bahagian percetakan dan pemasaran). 

Satu perkara yang tak dapat saya fahami sebagai seorang muda, bagaiman krisis antara DBP dengan Dawama boleh menyebabkan syarikat konsesi penerbitan dengan kontrak jutaan ringgit setahun boleh dikatakan mempunyai masalah kewangan dan mengalami kerugian jutaan ringgit setahun. DBP dan Dawama saling menudingi jari, dunia perbukuan panas sebentar, apatah lagi apabila krisis ini melibatkan pembekalan buku teks kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sebagai orang Melayu, saya terus terang malu. Dan hal ini tak dapat diterima akal. 

Dan sebagai orang yang bercita-cita menjawat di Dewan Bahasa dan Pustaka suatu hari nanti, saya malu apabila maruah DBP sebagai badan berkanun yang memartabatkan bahasa dan sastera serta industri perbukuan negara dicalarkan dengan mudah.

Dalam Berita Harian ruangan Sastera minggu lagi ada disentuh berkenaan kemelut ini. Persoalan yang dilemparkan dalam kolum tersebut, siapa yang menjadi mangsa?

Kakitangan Dawama, sudah tentulah. Siapa-siapa pun tidak mahu dicutikan tanpa gaji, dan tanpa pemberitahuan sehingga suatu tarikh. Nak pula dalam bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma, boleh anda bayangkan apa nasib mereka?

Rakyat, sudah tentu juga. Rakyat membayar duti, dan semua pendapatan diamanahkan ke arah kemajuan. Jika Dawama gagal melaksanakan tugasnya sebagai pencetak dan pengedar, maka duit rakyat tertumpah ke mana. Atas nama pengguna juga, kelewatan dalam pemasaran, kualiti yang rendah, menyebabkan imej Dawama menjadi begitu tidak baik di mata masyarakat.

Last but not least, sudah tentu penggiat dan peminat sastera. Perkembangan susastera arus perdana terhenti akibat kekurangan sumber walhal majalah-majalah DBP merupakan penerbitan utama negara, lebih-lebih lagi dalam bidang sastera dan bahasa.

Dan barulah saya tahu sekarang mengapa majalah DBP tidak sampai di tangan, keluaran Julai. Mungkin keluaran Ogos juga. 

Barulah kita tahu mengapa buku-buku DBP tidak meriah di pasaran, malah kalau mahu mencari buku-buku tertentu, kita perlu melanggan terus ke Dawama dan DBP, itu pun belum tentu ada. Saya sendiri di Kuantan, jika mahu membeli majalah DBP dan buku-buku terbitan DBP, harus didapatkan di Syarikat Seri Wangi jauh di Pekan.

Sebab itu juga buku antologi Kunci Gerbang Masa kurang mendapat tempat di pasaran. Semuanya akibat pemasaran yang lembab. Payment royalti kami pun susut kerana cetakan tidak mengikut jadual.

Dan apalah rupanya Riben Hitam saya dalam Tunas Cipta bulan Julai. Sampai sekarang saya tak dapat tatap karya sendiri.

Adoi, akibat krisis ini, banyak orang menjadi mangsa rupanya!
-
-
-
^_^


0 ulasan:

 
;