Nur Kasih dan Rakyat Malaysia yang Pemalas




Seminggu lepas saya menonton wayang bersama rakan. Kami memang berdua, oh tapi kawan saya itu lelaki. Saya budak sekolah agama yang memang kaki wayang. Paling tidak seminggu sekali, itu sudah menjadi rutin wajib. Tetapi apabila saya kembali duduk di bangku sekolah (baca: prauniversiti) aktiviti sebegini jadi terbatas.

Lama saya menunggu tarikh tayangan Nur Kasih The Movie (selepas ini disebut Nur Kasih). Kalau tidak silap, saya mendapat tahu selepas dimaklumkan oleh Maizura Mohd Ederis, yang juga penulis skrip drama bersiri Nur Kasih yang meletups suatu ketika dahulu.

Lama jugalah menunggu, tak sabar menunggu trailer Nur Kasih tiga bulan yang lalu. Dan akhirnya saya berjaya menonton Nur Kasih kerana tarikh masuk panggung dalam tempoh cuti persekolahan dua minggu.

Aha, puas! Penantian berbaloi.

Oh, saya juga bukanlah pengulas filem yang baik seperti teman-teman yang lain. Tetapi sebagai penghadam filem, dan merasakan sesuatu yang terbaik dalam filem, ulasan saya mungkin kritikan mutlak, kalau bukan sebagai pengkritik filem profesional pun, pasti sebagai seorang penonton filem.

Bagi saya Nur Kasih punya roh malah tersendiri. Nur Kasih tidak bersandarkan label Islaminya semata-mata. Nur Kasih mengajak kita bercakap tentang takdir dan harapan. Manusia dihidupkan dengan harapan.

Mungkinlah, saya bersetuju apabila ramai khalayak yang menonton filem yang sama akan menyatakan bahawa plot cerita ini mendayu-dayu, dan melankolianya meleret-leret. Watak-watak di dalamnya; Nur Amina, Aidil, dan Adam banyak berputar balik dalam soal takdir dan ketentuan, perjalanan mereka penuh ranjau, dan kadang kala dugaan yang datang melampaui kudrat. Sebagai manusia, kita memang selalu tidak kuat.

Terlalu sedih. Tetapi saya rasa memang itu pun matlamat penulis skrip dan pengarahnya. Tetapi sekurang-kurangnya Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa punya kelas yang tersendiri dalam membicarakan cinta dalam erti kata sebenar.

Itu semua orang pun tahu. Sepi, Cinta membuktikan.

Dari sudut tema dan pemikiran, Nur Kasih ada matlamat tersendiri. Tidak sekadar mengangkat sebuah kisah cinta yang dimurnikan, tetapi juga jalan ceritanya mengajak kita berfikir dan memberi pesan. 

Kita mungkin menangis menyaksikan tragisnya perjalanan cinta mereka, bermula daripada kisah di dalam TV yang disaksikan 19 juta penonton, disambung ke kisah layar perak dengan kematian isteri Aidil, rezeki zuriat yang belum sampai walaupun telah lama berumah tangga kepada Nur dan Adam, kehilangan, dan segala kesedihan yang kita saksikan, sekurang-kurangnya jika kita menuntut akal kita untuk merenung apa yang terjadi kepada watak-watak dalam filem ini, tangisan kita itu sebenarnya tangisan kesedaran.

Kita memikirkan sesuatu akan terjadi, tetapi perjalanannya menjadi lain. Itu yang kita katakan takdir Allah yang menentukan segala-galanya.

Bercakap tentang filem Kabir, macam biasalah, sinematografinya memang 'high class'. Gambarnya cantik, terutama babak-babak yang melibatkan latar luar negara seperti Jordan. Juga saya perasan, ada Rumah Pena dijadikan Kelab Remaja dan Kanak-kanak. :)



Saya suka pendekatan Kabir menggunakan watak kanak-kanak yang menjadikan filem ini tampak jujur. Dialog yang terucap oleh watak cilik Maryam dan Ilyas kadang-kadang meruntun jiwa. Kanak-kanak ikhlas dan jujur berkata-kata, dan memang tidak pandai berselindung. Kita tersentuh melihat mereka.

Kalau ada yang menonton Nur Kasih dan tidak merasa apa-apa, malah tidak dapat mengutip 'apa-apa', anda memang seorang yang tiada jiwa.

Tidak wajar kita membandingkan Nur Kasih dengan Karak, Priest, Kungfu Panda II dan KL Gangster (berdasarkan trend filem sekarang). Masing-masing mengangkat perjalanan cerita yang berlainan.

Berhati-hati memilih filem dan menonton filem.

Jangan menjadi orang yang sekadar beratur membeli tiket, membeli pop-corn dan sekadar duduk di dalam panggung. Menonton sekadar mahu melihat apa yang boleh menghiburkan.

Jadilah orang yang duduk di dalam panggung dan menaakul cerita. Berhibur, berhibur juga. Tetapi apa yang terisi dalam jiwa. Jadilah seorang yang menghadam filem, bukan sekadar menonton filem.

Filem kita wajah kita. 

Jika sekadar menonton, dapatkah kita mengenal wajah kita?

Oh, rakyat Malaysia, jangan malas!
-
-
-
^_^

0 ulasan:

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut