![]() |
| Gambar over di atas milik FB: Wan Nazifah Hidayah |
Melaluinya berkali-kali, tetapi belum memahiri. Allah menguji saya sekali dengan satu ujian maha berat; membuat pilihan. Saya menerima dugaan ini penuh ketar di tangan, kadang kala tidak sabar juga. Kurang sokongan, penuh ungkitan, berbeza kehendak dan berbeza pendapat.
Saya hampir buntu di tengah jalan. Tetapi akhirnya saya sedar harus akur dengan apa yang saya mahu, dan ini semua telah ditentukan, oleh DIA.
Perjalanannya panjang. Plotnya di klimaks. Dan saya takut untuk meleraikannya.
Saya harus akui, saat ini, perkara yang paling saya sesali sepanjang hidup saya ialah mengisi borang eSila JPA. Tetapi, saya tahu, saya tidak seharusnya begitu. Allah yang mentakdirkan begitu. Kata orang langkah pertama itu ialah permulaan bagi suatu hikmah.
Muzammil, terima kasih kerana mendorong saya untuk isi borang JPA, sebab awal-awal saya fikir seronok mengisi borang itu ini. Ralat melihat orang lain mengisi borang itu ini pasca-SPM dan saya tidak. Ralit dengan janji kepada diri "jangan isi apa-apa borang, kau nak masuk Form6, kau bukannya nak masuk IPTA pun".
Kuatnya bisikan itu dalam diri. Dan degilnya saya menurut kata hati. Dan akhirnya, apa-apa permohonan atas talian pun langsung saya tinggalkan. Langsung saya tidak isi.
Tetapi untuk JPA saya rasa lain macam. Hati saya jadi tertarik melihat Muzammil yang ralit mengisi borang JPA.
Kata kaunselor saya, saya seorang penduga orangnya. Saya tak mahu tetapi tetap mahu mencuba. Sama seperti saat hati saya tegar berjanji kepada diri tidak mahu pergi ke Kolej Islam pasca-PMR, tetapi saya tetap menduga, dan akhirnya dapat.
Dan saya menghancurkan hati ramai orang, termasuk orang-orang yang saya sayang. Seperti kali ini.
UK, Australia dan Sekolah yang Tidak Seberapa
Pertama sekali, izinkan saya menjelaskan, gembar-gembur bahawa saya mendapat tawaran ke United Kingdom tidak benar sama sekali. Itu semua berpunca daripada salah faham, salah cakap dan salah tafsir beberapa pihak.
Minta maaf kerana membuat ramai orang tertanya-tanya. Dan saya banyak mengendahkan pertanyaan.
Soal bumi Kangaru, saya tidak mampu jelaskan sepenuh-penuhnya di sini. Saya tidak ke sana dengan bersebab dan pilihan ini memang datang daripada kehendak sendiri. Tiada paksaan sesiapa dan tanpa pengaruh siapa-siapa.
Mengapa. Soalan yang saya sendiri sukar untuk menjelaskan dengan kata-kata biasa.
Sungguh saya membuat keputusan ini dengan hati yang berat. Saya punya impian dan impian saya tersendiri. Impian itu tak mampu difahami. Kalaupun saya jelaskan di sini, tiada gunanya. Semacam saya bercakap dengan erti yang tiada.
Pergi ke Australia, bermaksud saya meninggalkan banyak impian di belakang. Impian yang saya telah tukangi separuh jalan (setakat sekarang). Pergi ke Australia, bermaksud saya memutuskan untuk menjadi Pakar Ekonomi, Pakar Kewangan, perancang aliran tunai etc kepada perkhidmatan awam negara dan mematikan niat untuk menjadi Perunding Linguistik, Pegawai Perancang Bahasa dan berhenti untuk berangan duduk di kerusi Dewan Bahasa dan Pustaka. Memikirkannya berkali-kali, saya rasa saya tidak sanggup, saya telah berkorban banyak.
Menolak Australia bermaksud saya mematikan harapan orang lain. Orang-orang tersayang, keluarga, saudara-mara dan semua orang yang memanjatkan harapan terlalu tinggi. Menolak Australia tampak seperti saya mementingkan diri sendiri, dan menambahkan kekeliruan orang lain, menambahkan kepelikan, dan mengundang padah kerana saya sentiasa dihujani pertanyaan. Pertanyaan yang saya tidak mampu menjawab secara langsung, melainkan anda benar-benar memahami saya. Tetapi saya fikir tidak.
Kata seorang kawan yang saya baru kenali, saya melakukan perkara yang betul. Hidup perlu berteraskan minat dan dia menghormati keputusan saya sepenuh hati. Saya rasa tersokong.
Kata guru Bahasa Malaysia (baca: Bahasa Melayu) saya pula, ibu bapa saya, orang lain tidak nampak airmata saya membuat keputusan. Dia tidak mahu saya menjadi sepertinya. Menghentikan cita-cita di tengah jalan.
Dan akhirnya saya memutuskan untuk meneruskan apa yang saya hajatkan sekian lama. Tingkatan Enam. Di sekolah yang tidak seberapa, tetapi saya cintai sepenuh hati, SMK Agama Pahang.
Mengapa Tingkatan Enam?
Seorang guru pernah datang kepada saya, kami berborak panjang secara peribadi, menyentuh hal-hal persekolahan dan akhirnya memberi nasihat yang takkan saya lupa. Dan berterus terang menghormati keputusan saya memasuki Tingkatan Enam, tetapi berterus terang bahawa sebab kenapa saya memilih Tingkatan Enam.
Tak tercapai di akal.
Tanyalah saya secara peribadi. Saya akan menjawabnya dengan hati yang terbuka.
Kemahuan saya kecil, dan dibesar-besarkan. Saya harap ada yang mengerti.
Dan akhirnya saya di sini, di sekolah yang tidak seberapa.
SMKAP Seperti Nyawa
Ramai junior yang datang kepada saya dan bertanya "kenapa memilih SMKAP dan bukan Australia?" dan mempersoalkan apa sangatlah yang ada di SMKAP.
Kalaulah mereka tahu SMKAP semacam sudah menjadi sebahagian daripada nyawa saya dan memilih untuk tidak memasuki SMKAP, saya melepaskan sebahagian daripada impian hidup pergi dari hidup sendiri.
Dan seboleh-bolehnya, setelah apa yang saya pilih, untuk menolak negara Kangaroo dan menyertai Tingkatan Enam, dihormati dan difahami ramai.
Bercakaplah apa sahaja, apa yang telah saya pilih semuanya ketentuan Allah. Dia sebaik-baik perancang kehidupan. Segala puji bagi Dia.
Kalaupun ada yang cuba memahami dan tidak tercapai di akal, bercakaplah dengan saya secara peribadi.
Dan sekarang saya berhasrat untuk meneruskan apa yang telah dipilih, saya bertanggungjawab ke atas impian saya sendiri. Dan saya harap saya memilih perkara yang betul.
Doakan saya yang terbaik, saya hanya memerlukan sokongan dan mengharap saya didoakan yang terbaik.
Terima kasih kepada yang cuba memahami.
Terima kasih Fitratallah dan Cikgu Nazirah. Anda berdua benar-benar menguatkan saya.
--
-
^_^



0 ulasan:
Catat Ulasan