Penyair Kemala diumum Sasterawan Negara
PUTRAJAYA, 3 Mei — Penyair terkenal negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah, yang turut dikenali sebagai “Kemala”, diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 hari ini.
Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini sebentar tadi.
Laporan Bernama memetik Muhyiddin berkata, anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Tokoh yang dilahirkan di Gombak, Selangor itu mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.
Kemala telah menghasilkan 11 buku kumpulan puisi, 25 antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.
Karya-karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei lalu.
Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai.
Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali, kata Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Anugerah Sastera Negara Ke-11 hari ini.
“Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.
“Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara,” katanya.
Muhyiddin berkata Kemala mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Beliau telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).
Dipetik dan diubah suai daripada The Malaysian Insider. Sumber asal di sini.
Nota saya:
Alhamdulillah kita tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui siapakah Sasterawan Negara yang seterusnya. Jikalau dulu, kita harus menunggu lama menyebabkan perkembangan susastera negara sebegitu perlahan. Setahu saya jarak antara SN Anwar Ridhwan dan Kemala tidak jauh.
Ini satu perkembangan yang baik.
Tahniah Dr Kemala!
^_^
-
-
-



0 ulasan:
Catat Ulasan