Kemahuan Kecil yang Dibesar-besarkan




Bagi saya cita-cita bukan bermaksud kita mengimpikan sesuatu yang indah-indah, yang baik-baik, yang bagus-bagus. Kerana yang indah, yang bagus, yang baik itu ialah apa yang akan kita terima, natijah daripada apa yang telah diusaha. 

Saya tak kisah digelar aneh. 

Saya tidak kisah dikata menolak tuah.

Saya tidak kisah dikata orang yang bercita-cita kecil.

Bagi saya impian itu menyakitkan, mencabar, dan penuh onak. Untuk sampai ke tahap sekarang ternyata bukan mudah. Semuanya dihidupkan oleh impian. Yang menyakitkan itu. 

Tidak kiralah apapun impian kita. Besar atau kecil, susah atau senang, semuanya sebenarnya menyakitkan. Perjalanan ke arah keterbaikan hakiki dek kerana impian itulah yang menyakitkan, tetapi perlahan-lahan menjadi madu yang manis dinikmat, sekarang.

Saya percaya untuk berjaya, modalnya bukan usaha semata-mata. Usaha ialah pelaburan. Peluang bukan modal, tetapi jalan. Doa bukan modal, tetapi penghubung kepada kejayaan dan Yang Mengurniakan kita kejayaan.

Tetapi modal utama kejayaan ialah impian. Impian yang membara. Kemahuan yang membara.

Tingkatan enam mungkin tampak kecil di mata manusia, di mata dunia pendidikan, di mata ibu bapa, di mata sistem meritokrasi, di mata pemimpin dan di mata orang yang berada di dalamnya sendiri.

Tetapi oleh sebab saya mengajar diri supaya tahu apa yang dimahu, hadam dahulu apa yang mahu dimakan, dan berniat dahulu sebelum memulakan. Impian saya mengatasi kelayakan kadang-kadang. Minat saya kadang-kadang menghairankan. Jalan yang saya pilih selalu membuatkan orang di sekeliling risau dan rasa bersalah dan tidak duduk diam.

Alhamdulillah, setakat hari ini setiap apa yang saya cita-citakan selalunya tercapai dan peroleh kebaikan. Kejayaan datang satupersatu, mengingatkan saya bahawa dunia ini bukan kita, kejayaan yang jatuh ke tangan bukan kita pemilik hakikinya. Tetapi kejayaan sering memberi amaran kepada saya supaya bersyukur segera dengan apa yang ada dan menambah usaha dalam setiap apa yang dicita.

Dan juga memberitahu saya bahawa tiada salahnya menikmat kejayaan, kerana kita memang berhak menikmatinya bersama sesiapa sahaja, asalkan jangan dilupa siapa pengurnianya.

9hb ini saya kembali ke sekolah. Dengan semangat baru, azam yang baharu. Ini yang saya mahu, yang saya cita-citakan dan alhamdulillah, saya dapat. 

Allah selalu membenarkan saya meraih apa yang saya mahu, walaupun terkadang saya harus melupakan impian dan harapan orang lain. Alhamdulillah, segala puji bagi Dia.

Bagi saya tak salah bercita-cita kecil, walaupun kita mampu mendapat lebih daripada itu. Yang penting kita tahu apa yang dimahu, dan kita tidak duduk mendiamkan diri semata-mata untuk mencapainya. Jikalau kita bercita-cita besar kita pasti mecari jalan untuk melunaskan impian itu.

Tidak seperti sesetengah manusia yang hanya menunggu apa yang datang berdasarkan apa yang mereka ada. Mereka bagi saya punya hati yang tidak cukup besar.

Biarlah kita bercita-cita, kecil atau besar. Tetapi jika kita bercita-cita kecil laluinya dengan hati yang besar dan  harapan yang besar. Kemahuan yang besar itu membawa kita kepada kejayaan yang sebenar.

Dan belajar-belajarlah untuk mensyukuri, kerana Allah selalu menyediakan yang terbaik untuk kita, dalam apapun.

Alhamdulillah!
^_^
-
-
-


0 ulasan:

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut