Mana Haluanku: Matrikulasi, Tingkatan Enam atau Diploma?


[artikel ini ditulis tanpa sebarang prejudis, prasangka, atau nafsu-nafsi. Jikalau adapun, maaflah, mungkin juga ditulis dengan emosi]

Pascakeputusan SPM, semuanya sudah sibuk berkira-kira mahu melanjutkan pelajaran. Sistem pendidikan negara yang berteraskan pendidikan sepanjang hayat (maksudnya, sampai ke tua pun boleh belajar) membolehkan banyak ruang dan peluang pendidikan disediakan, kepada sesiapa sahaja.

Baru-baru ini keputusan temuduga KPLSPM (kenapalah panjang sangat namanya ya..) ataupun Kursus Perguruan Lepasan SPM atau namanya yang lebih tepat ialah PISMP (program ijazah sarjana muda pendidikan) telah pun diumumkan untuk penempatan ke IPG seluruh negara.

Dan hari ini, semakan tawaran ke Kolej Matrikulasi KPM diumumkan. Esok lusa giliran UPU, kemudian tingkatan enam pula. 

Saya berhasrat menyentuh empat yang utama terlebih dahulu: IPG, Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Diploma.

Ya, tidak dapat dinafikan apabila terlihat betapa rumitnya sistem meritokrasi sehinggakan kita mempunyai banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM. Tetapi harus diingatkan, kerana rumitnya sistem meritokrasi negara juga, tidak semua akan terpilih mengikuti KPLSPM, tidak semua akan dapat mengikuti program matrikulasi dan tidak semua terpilih untuk mengikuti program Diploma/Asasi/Matrikulasi di bawah kemasukan ke IPTA melalui program UPU.

Kerana itu pencapaian amat penting. Pencapaian dalam akademik SPM-lah sebenarnya yang menentukan kelayakan kita di mana. Setiap satu takah pra-ijazah memerlukan syarat-syarat tertentu, disediakan untuk orang yang tertentu, dengan bidang yang tertentu, malah kekosongan petempatan juga ada hadnya.

Kita selalunya dipengaruhi oleh keputusan keluarga, ibu bapa terutamanya yang gemar melorongkan anak-anak mereka ke bidang atau saluran tertentu. Bagi ibu bapa yang kurang membuat research, dalam fikiran mereka, "anak-anak aku harus masuk U". Ditambah pula dengan keputusan yang anda dapat, sederhana cemerlang atau terlampau cemerlang, pada hakikat mereka anak-anak mereka harus masuk universiti.

Kurang pendedahan dan kurang pengetahuan juga menyukarkan membuat pilihan. Ditambah pula dengan faktor keputusan SPM yang dijadikan tiket untuk ke program pra-ijazah. Dan kecelaruan minat dalam diri pelajar.

Semua ini menambahkan kekeliruan untuk memilih haluan selepas SPM.

Berfikir Secara Ijazah Pertama

Satu perkara yang mungkin tidak difahami sesetengah pelajar ialah tingkat pendidikan selepas SPM. Tanggapan atau stigma bahawa selepas sekolah masuk universiti/kolej adalah satu tanggapan yang perlu diperbetulkan. Ini semua tidak semestinya. 

Seperti yang dikatakan, disebabkan rumitnya sistem meritokrasi negara, sebelum ke ijazah pertama, pelajar harus memilih program pra-ijazah mereka (sama ada Matrikulasi, Form6 ataupun Diploma).

Kerana itu bagi saya apa yang paling anda tahu apa yang anda minati. Memilih bidang terlebih dahulu, bukan memilih kerjaya. Saya selalu mengingatkan kepada sesiapa bertanyakan hal laluan pendidikan kepada saya; betapa penting pada usia anda 15 tahun, cita-cita sangat penting. Kerana dengan cita-cita anda itulah menjadi panduan untuk memilih aliran ketika di Tingkatan Empat dan menjadi panduan untuk anda ke program yang mana selepas SPM.

Keputusan PMR dan SPM hanyalah sandaran. Utamakan minat (bidang dan cita-cita), kedua, baru anda pertimbangkan berdasarkan keputusan peperiksaan. 

Terlalu banyak pilihan bidang dan takut jika apa yang diminat tidak dapat dipenuhi keputusan peperiksaan? Jangan risau. Dalam hal ini kita boleh meletakkan minat dalam opsyen tertentu. 

Contohnya anda minat Medic. Tetapi dalam masa yang sama anda juga minat Psikologi. Nah, letakkanlah Medic sebagai 1st option, Psikologi sebagai 2nd option. Tetapi dalam banyak hal, utamakan dahulu opsyen yang pertama, opsyen kedua sebagai back-up sahaja, jika opsyen pertama tidak tercapai. Atau dalam alternatif lain, boleh juga anda letakkan opsyen pertama sebagai pilihan anda sendiri dan opsyen kedua sebagai pilihan keluarga. Terpulanglah. 

Atau juga anda mempunyai banyak bidang yang anda suka. Contohnya anda menggemari bidang Linguistik, Psikologi dan Perakaunan. Susunlah mengikut keutamaan opsyen. Linguistik sebagai 1st option, Psikologi sebagai 2nd option dan Perakaunan sebagai 3rd option.

Terpulang. Utamakan yang lebih utama. Tetapi pokoknya, utamakan minat anda sendiri. Ketepikan dahulu soal glamor.

Kemudian baru anda nilai keseuaian minat berdasarkan keputusan SPM yang anda dapat.

Untuk menentukan minat dan kursus apa yang anda akan ambil, terlebih dahulu tentukan dulu program ijazah pertama yang anda mahu sertai nanti.

Konsepnya; pilih atas, baru pilih bawah. Seperti yang dikatakan setiap takah program pra-ijazah disediakan untuk bidang tertentu. 


Jom saya ajak anda telusuri pro dan kons setiap satu program pra-ijazah. Berdasarkan carta di atas, saya tidak akan menyentuh program STAM (kerana tidak ramai yang ambil STAM saya kira) dan program persediaan Ijazah Luar Negara JPA/MARA (kerana kebanyakan disertai pelajar cemerlang 10, 11 A).

Juga tidak banyak yang dapat diceritakan tentang kursus perguruan. Kerana memang diketahui, bidangnya sudah jelas; perguruan dan program 5 tahun perguruan sudah merangkumi Ijazah Pertama, sebenarnya. Laluan ke bidang kerja juga mudah. Jikalau anda mahu menjadi seorang guru dengan nekadnya, PISMP melalui IPG jalan terbaik, dengan syarat lepas temu duga dan ujian INSAK.

Kelebihan Tingkatan Enam
Tingkatan 6 sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan, antaranya adalah;

  • STPM diiktiraf bagi kemasukan ke kebanyakan universiti di serata dunia.
  • Dengan sijil STPM pun sudah boleh bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Syaratnya dapat 4 prinsipal atau 3 prinsipal 2 subsid mana-mana yang terpakai berdasarkan prinsipal terendah.
  • Kiraan pointer STPM berdasarkan campur kesemua pointer subjek diambil bahagi dengan 4 sahaja. Kalau dapat 3.00 ke atas itu sudah baik. Pointer yang diperlukan bagi STPM bagi kegunaan kemasukan ke ijazah pertama juga lebih rendah berbanding kursus Matrikulasi, Diploma dan sebagainya kerana taraf akademiknya sangat hampir dengan universiti. 
  • Setiap subjek majoriti kena ambil 4 kertas atau bahagian bergantung kepada subjek.
  • Sastera pun susah, sains pun susah. Dikatakan peperiksaan top 5 tersusah di dunia! Entahlah tetapi kualiti sijil STPM bertaraf diploma di jabatan kerajaan sekarang. Maksudnya anda boleh cuba minta jawatan bertaraf diploma di jabatan kerajaan.

Taraf Sijil STPM


Setiap subjek lulus prinsipal akan mendapat taraf Advanced Level (setaraf A-Level) Cambridge, UK. Taraf A-Level ni sangat tinggi, diploma pun belum bertaraf A-Level, STPM sudah mendahului. Taraf soalannya juga  sama kualiti dengan soalan peperiksaan luar negara Cambridge GCE A-Level, peperiksaan yang disediakan di Britain untuk pelajar mereka bagi kemasukan ke luar negara. 

Di luar negara STPM digelar Senior Cambridge, SPM- Junior Cambrige. Ada juga disamakan dengan  High School Certificate(HSC) dan High School Diploma di US. STPM sebenarnya peperiksaan University Cambridge kemudian diadakan di IPTA kita. Lagi satu sijil STPM laku juga di luar negara dan boleh digunakan untuk bekerja dan lanjutkan pelajaran terkenal seluruh dunia.

Pembelajaran Di Tingkatan 6

Subjek dalam STPM mempunyai ruang lingkup yang sangat luas, menuntut kesabaran dan lebih praktikal.

Fikiran juga harus matang dan tinggi, terbuka, minat mendalami ilmu, suka baca bahan ilmiah, isu semasa, perbincangan sekelas, usaha serta semangat membara, ditambah dengan cita-cita, strategi berjaya, masa depan, sedikit kecerdasan minda, kecerdikan serta kecekapan, insya-Allah pasti berjaya kelak.

Selaraslah dengan kerajaan mahu menjadikan atau menjenamakan semula Tingkatan Enam seperti yang diceritakan di suratkhabar dan artikel pendidikan. Tingkatan Enam meliputi kebanyakan subjek tahun pertama di universiti bagi kursus ijazah, peringkat pendidikan lepas menengah tinggi (STPM) dan program persediaan ke universiti dari segi mental dan pemikiran dan cara belajar.

Sukatan Pelajaran

Tingkatan Enam kurikulumnya serta kualitinya diambil atau didasari dengan lembaga atau badan peperiksaan profesional luar negara iaitu mengikut standard (piawai) dari lembaga peperiksaan Universiti Cambridge itu sendiri dan ahlinya terdiri dari profesor dan pensyarah pakar.

Di Malaysia, soalannya digubal oleh pensyarah IPTA, kertas soalannya ditanda oleh guru Tingkatan Enam yang pakar dalam bidangnya.

Soalan serta kualitinya setaraf dengan soalan peperiksaan University Cambridge luar negara tersebut. Diiktiraf oleh badan peperiksaan profesional luar negara iaitu mengikut standard (piawai) dari lembaga peperiksaan Universiti Cambridge.

(sumber untuk Tingkatan Enam kebanyakan diambil dan diubahsuai daripada eputra.com )

Program Matrikulasi dan Asasi

Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi KPM terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT) dan mempunyai 4 jurusan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Perakaunan dan Teknikal. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka kerana hanya dibahagikan kepada empat jurusan umum ini.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah cuma RM 425 untuk jurusan Sains dan Teknikal dan RM 375 untuk jurusan Perakaunan (PST). Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa belajar di kolej matrikulasi, para pelajarnya akan menerima elaun sebanyak RM 1,250 satu semestar.

Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah. 

Mereka yang mempunyai keputusan cemerlang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki program pengajian yang diminati. 

Mereka yang sederhana pula ada kemungkinan akan mendapat program pengajian yang tidak diminati atau biasa disebut ‘dilelong'.

Asasi IPTA

Program Asasi pula dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.

Umpamanya Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains. 

Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.

Di samping itu universiti lain yang mempunyai program asasi adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Walaupun begitu para pelajar asasi akan ditawarkan pembiayaan wang saku sebanyak RM 1,000 satu semester, yuran pengajian sebanyak RM 350 satu semester dan yuran penginapan sebanyak RM 300 satu semester.

Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka. Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Diploma ke IPTA Melalui UPU

Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. 

Ini bermakna apabila pelajar berkenaan mengikuti program pengajian diploma mereka telah boleh merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat.

Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.

Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.


Pilihan Anda

Ketiga-tiga program pengajian ini memang disasarkan kepada calon yang berbeza. Setiap satu program tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Mereka yang mengikuti program asasi dan matrikulasi satu tahun merupakan antara jalan terpantas untuk memasuki universiti dan menamatkan program pengajian peringkat ijazah. Secara langsung mereka akan dapat mula bekerja lebih awal di usia yang muda.

Memandangkan program asasi dan matrikulasi mengambil masa yang singkat untuk ditamatkan maka mereka yang mengikuti program ini perlu melalui proses kehidupan dan pembelajaran yang mencabar. Banyak yang perlu dilakukan dalam masa yang begitu pendek dan perlu fokus serta mengekalkan prestasi pelajaran dari mula lagi.

Walaupun begitu segala susah payah ini akan dibalas dengan kepantasan memasuki program pengajian peringkat ijazah dan dunia kerjaya.

Secara umumnya program Matrikulasi KPM sesuai untuk mereka yang belum begitu pasti kursus apa yang ingin diikuti diperingkat ijazah nanti kerana sukatan pelajarannya lebih terbuka. Manaka program Asasi pula sesuai untuk mereka yang sudah pasti apakah kursus yang ingin diikuti diperingkat ijazah dan universiti yang ingin dimasuki kerana sukatan pelajaran asasi telah disusun mengikut kursus yang tertentu.

Perbezaan yang paling ketara antara program asasi dan matrikulasi dengan program diploma adalah tempoh masa pengajian. Program diploma mengambil masa yang lebih panjang iaitu 3 tahun jadi proses pembelajaran tidaklah begitu ketat. Di samping itu pelajar diploma mempunyai lebih peluang untuk membaiki penurunan prestasi kerana ada 6 semestar berbanding 2 semestar untuk asasi dan matrikulasi setahun.

Namun kerana tempoh masa pembelajaran yang lebih lama maka lepasan diploma akan lewat memasuki pengajian peringkat ijazah dan akan lambat mula bekerja. Walaupun begitu ada universiti yang memberi pengecualian jam kredit kepada lulusan diploma dan ini boleh memendekkan sedikit tempoh masa pengajian.

Di samping itu lulusan diploma boleh menggunakan diploma mereka untuk terus bekerja tetapi tidak demikian untuk lulusan asasi dan matrikulasi. Mereka yang mengambil program asasi dan matrikulasi dianggap akan meneruskan proses pembelajaran mereka kerana program tersebut memang disusun sebagai laluan pantas ke universiti.

Sementara itu bagi mereka yang tidak berjaya ke matrikulasi atau asasi maupun diploma jangan gusar kerana anda masih boleh memasuki universiti mengikuti program peringkat ijazah. Laluan anda adalah dengan masuk ke tingkatan 6 dan ambil STPM.

Walau apa pun pilihan anda pastikan anda melaluinya dengan terancang dan berusaha untuk mencapai yang terbaik demi masa depan yang cemerlang. Pastikan anda tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan semasa SPM dahulu. Pada peringkat ini sepatutnya anda telah mengenai diri anda sendiri dan tahu apakah minat, 
kemampuan dan kekuatan masing-masing.

^_^
-
-
-

7 ulasan:

diradebot berkata...

eerrr... matrik dh x dpt skrg tggu UPU je . Harap2 ada lah rezeki bljr kat IPTA . Amin..

Shamsul Amin berkata...

tak apa.. insya-allah.. UPU ada lagi.

Kalau UPU pun tak dapat.. jangan risau..tingkatan enam kan ada..

Tanpa Nama berkata...

Tul 2...t'lampau bnyk tempat 4 smbg blaja

k e y r i berkata...

aduh! pening3! mane nak pilih ni..

aku dapat tawaran form 6!

♫♪~ Naurah Nawwarah ~ ♫♪ berkata...

mtriks tak dapat.. form 6 da dpt.. tpi, nk tnggu upu je esok.. ish.. takuttttt!

k e y r i berkata...

singgah sini.. weyh, mohon sharing entry hang yg pasai form 6 tu.. mekaseh ea.. :)

Farisya Ajis berkata...

kalau result saya cuma 8a 2b agak2 memang payah ke nak diterima untuk masuk asasi ?

 

Anekdot Diri

Foto Saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut