Pengikut

03 Mac 2011

Perhimpunan

Gambar ihsan: Portal Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Kesenian (tiada kaitan sama sekali, sikit je)

Di sekolah, saya menjadi pengawas ketika sesi 2009/2010. Ketika saya berada di akhir tingkatan empat pada tahun 2009, saya menjadi pengawas percubaan, dan menjadi pengawas sepenuhnya ketika berada di Tingkatan Lima, memegang portfolio 3K (Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan)

Antara rutin atau tugas penting pengawas ialah menjadi emsi (Master of Ceremony) kepada perhimpunan rasmi. Kebiasaannya hari Isninlah.

Saya masih ingat bagaimana ketika di Tingkatan Empat, sewaktu menjadi pengawas percubaan, pada suatu Isnin, pengawas percubaan dikehendaki mengacarai perhimpunan pagi. Sewaktu itu jadual untuk pengawas baru belum disusun.

Cikgu Rashidi (guru pengawas) saya ketika itu, katanya, "saya nak Shamsul jadi emsi, awak naik". Saya terkejut, darah gemuruh terasa menyirap tiba-tiba. Tetapi selalunya apabila saya disuruh sesuatu, jarang sekali saya menolak. Lebih-lebih lagi dalam soal tugas.

Saya mungkin sahaja terbiasa bercakap dengan orang ramai. Naik halaqah tafaquh, syarahan, bersajak segala memang rencam saya di pentas besar. Tetapi, dalam soal urusan kerja bidan terjun begini, darah gemuruh saya naik. Saya memang biasa ketar di pentas!

Menjadi emsi, menuntut pula saya untuk membaca skrip perhimpunan dalam bahasa Inggeris yang diselang-selikan dengan bahasa Arab.

Mendapat skrip serta-merta, bahasa Inggeris mungkin sahaja baik, tetapi bahasa Arab saya tunggang-langgang!

Malamnya, Ustaz Aziz menyelar sikap pelajar yang tidak bersedia dalam berbahasa Arab. Katanya, "kita ni sekolah agama, tapi cakap Arab pun tunggang langgang! A sia-sia bahasa Arab! Macam pagi tadi.."

Ah, sayalah tu! Memang sayalah yang dimaksudkan Ustaz Aziz. Saat saya terketar-ketar bahasa Arab di pentas, dialah yang menjeling tajam saya.

Malunya... :D
Sejak itu saya nekad mahu berbahasa Arab sebaik-baiknya, dalam perhimpunan akan datang saya akan lebih bersedia. Saya pertama kali menjadi emsi, tugas datang serta-merta bersama skrip yang sepatutnya saya praktiskan sehari sebelum perhimpunan.

Ah, tak praktis skrip cuma alasan, padahal skrip yang sama digunakan setiap kali perhimpunan! Alasan!

Pernah saya terfikir, silapnya skrip perhimpunan sekolah. Skripnya Bahasa Inggeris berselang seli dengan Bahasa Arab.

Bahasa Inggeris- Bagus, kalau niatnya mahu memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar.Yalah, lagipun memang kita suka kekalkan kolonialisme dalam segala benda, pentadbiran, bahasa, politik, gaya hidup pun dah macam orang putih.

Bahasa Arab- Lagi bagus. Bahasa Syurga, Bahasa al-Quran, bahasa yang menjadi pertuturan antara kita dengan Allah apabila bertemu-Nya kelak. Dapat juga memantapkan penggunaan bahasa Arab. Termasuk penguasaan orang yang menuturkan skrip (sebagai emsi, saya terkesan). Kita pula sekolah Arab, bukan sekolah convent!

Tetapi di mana Bahasa Melayu? Ah,mudahnya dipinggirkan. Setiap kali perhimpunan saya geram!

Pernah saya hampir mahu mengusulkan perkara ini. Tetapi saya buntu kepada siapa. GPK1 yang akan hanya bercakap tentang akdemik, GPK Hem sibuk dengan asrama. GPK Koko? Hei, saya bukan nak pergi perkampungan penulis mudalah!

Akhirnya saya diamkan sahaja.

Suatu hari saya pernah bertukar-tukar cerita dengan teman saya, Hamdan, tentang sekolahnya, KISAS yang bercakap tentang perhimpunan.

Di KISAS perhimpunan akan diadakan dalam tiga bahasa Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan Bahasa Melayu berselang-seli mengikut minggu. Sekurang-kurangnya Bahasa Melayu ada.

Bilalah SMKAP juga akan begitu...

Saya selalu menganggap Isnin membawa konotasi rasmi. Tetapi tanpa bahasa Melayu, rasminya hilang entah ke mana.

Tak guna bersuara seorang diri, isu bahasa di sekolah. Siapalah yang mahu dengar. Lebih-lebih lagi daripada seorang Shamsul Amin. Bahasa apapun guna sama je, asalkan ada perhimpunan. Kanz...

Habis Bahasa Melayu bagaimana?

Cerita Hamdan lagi, kalau di KISAS jika pengawas tersasul atau membuat silap sewaktu menjadi emsi, terlupa ikrar segala, pasti menjadi bahan tawa dan modal usikan yang paling tajam oleh pelajar dan guru, untuk tempoh yang lama.

Ah, nasib baik di SMKAP tidak begitu!

Kalau ada pun Ustaz Aziz sahaja. Itu pun sebenarnya bukan usikan, tetapi lebih kepada membetulkan dan mengingatkan! Ustaz Aziz sangat prihatin dalam soal berbahasa Arab.

Dan saya pun masih memikirkan soal Bahasa Melayu di sekolah.
Remeh?
Taklah.


0 ulasan:

 
;