Semua kerana sengketa.
Dalam kelas sastera yang saya reka sendiri kerana tidak pernah berguru secara lahiriah, konflik itu pasti ada dalam mana-mana karya penulisan. Baik cerpen mahupun novel. Tanpa konflik, plot menjadi datar, ataupun digelar antiplot.
Konflik boleh jadi antara seseorang watak dengan seseorang watak yang lain, watak dengan diri sendiri, dan watak dengan persekitaran.
Konflik mewarnakan hidup, sebagaimana ia mewarnakan plot cerita, yang akhirnya terlerai dengan resolusi 'penyelesaian'. Penyelesaian itu pula terpulang, happy ending atau sebaliknya.
Kali ini saya memikirkan konflik dua pihak. Tidak bersenjata, tiada pertengkaran.
Cuma ada ego dan sengketa sahaja.
Bahaya sengketa ini. Tiada yang jahat, tiada yang baik. Tetapi dominasi watak dalam cerita menjadi pertaruhan. Kedua-dua mahu menjadi watak utama, dan akhirnya kedua-duanya kecundang, akibat tidak mahu mengalah (walaupun hakikatnya memang ada yang tersingkir dan ada yang kekal, tetapi kedua-duanya punya kesan sendiri).
Yang tukang membikin cerita ini ialah Allah Taala, semua ini ditentukan begini. Sengketa memang panjang dan pengakhirannya bunyi seperti menyayat hati dan tampak tidak adil kepada pihak tertentu. Tetapi Allah ada sebab kenapa Dia 'mengarang' cerita yang begitu. Klimaks dan peleraiannya tampak menghancurkan, tetapi di sebalik konflik ini, ada hikmahnya.
Bersangka baiklah dengan Allah, Dia lebih tahu apa yang terbaik.
Seperti mana seorang cerpenis atau novelis melakar cerita kemudian peleraiannya pasti ada watak yang menang atau kalah. Tetapi atas sebab rasional, pengakhiran cerita yang sesuatu, penulisnya lebih tahu.
Di sebalik apa-apa konflik atau konspirasi, bersangka baiklah dengan Allah yang menjadikan semua ini.
Dia lebih tahu apa yang terjadi.
Berhenti menudingi jari dan benci-membenci.
Bersihkan hati, kita akan jauh mengerti dengan hati yang suci.
Mudah-mudahan.


0 ulasan:
Catat Ulasan