![]() |
| Aku terima nikahnya Cik Rembulan dengan mas kahwinnya... [ihsan gambar www.ahmadbob.com] |
Tidaklah begitu. Cuma terpanggil saya untuk menulis entri ini sehubungan cuti-cuti sekolah sebegini, banyak pula undangan walimatulurus yang saya terima, daripada kawan, kenalan, saudara-mara, sehinggalah jiran tetangga.
Semakin ramai kenalan saya yang sudah berkahwin. Tak wajar pula untuk saya mendetakkan hati sendiri "Bilalah aku nak kahwin ni, kawan-kawan aku ramai dah kahwin.." sebab saya sendiri masih muda!
Namun, tidak semua undangan majlis kesyukuran dapat saya penuhi. Maklumlah, kenduri mereka kebanyakannya bukanlah dekat-dekat. Saya pasti sahaja bermasalah dalam hal pengangkutan. Ada juga pertindihan tarikh antara kenduri. Jadi saya terpaksa memilih. Yalah, orang mengundang, wajiblah kita pergi!
Majlis yang tidak dapat saya hadiri saya tolak dengan cara yang baik. Anggap sahaja saya berhalangan. Saya harus mengutamakan yang lebih utama.
Doa sahaja saya kirimkan. Semoga bahagia hingga ke anak cucu! Aminn..
Seronok pula melihat orang lain berkahwin. ;-)
Melakukan walimatulurus bagi menghebahkan sesuatu perkahwinan memang baik. Tetapi kadangkala kesal juga saya, tentang beberapa hal berkenaan walimatulurus yang sering sahaja disalahertikan dalam masyarakat kita.
Mas kahwin dan hantaran antara perkara-perkara yang sering sahaja disalahtanggapkan dalam perkahwinan sehingga kita tidak sempat untuk meneliti perkara-perkara yang lebih penting. Hantaran misalnya menjadi sangat penting dalam perkahwinan. Semacam trend pula (dalam kalangan orang popular terutamanya) hantaran dan mahar menjadi bahan kemegahan.
Pembaziran juga selalu terjadi. Dalam soal berhias-hias, decorations itu, decorations ini. Belanja perkahwanan lewat sekarang menjadi terlalu mahal. Belanjanya bukan main lagi!
Soal sensitiviti syariat dalam berkenduri juga selalu terlepas pandang. Soal persandingan, ikhtilat, aurat dan macam-macam lagilah.
Alangkah indahnya walimah andai bersendikan syariat. Yang buat tu baguslah, yang kurang peka, itu yang barah.
Salam kerok. Hah ini satu lagi masalah. Saya harus akui, dalam keluarga saya pun terjadi. Malah saya percaya kita juga.
Sering sahaja menjadi permasalahan kita dalam memenuhi sesuatu undangan ialah hadiah, duit iringan, atau sagu hati kepada pengantin ataupun keluarga pengantin. Orang Kelantan panggil 'duit ngele' (ye dok saya eja ni?). Semacam menjadi keperluan pula, kalau mahu ke kenduri, duit iringan atau hadiah itu semacam kewajipan pula.
Mulalah kita bersusah-payah keluarkan duit, beli hadiah besar-besar (tak mahu kalah dengan orang lain), siap pergi pecah duit besar lagi!
Hei, tak payah susah-susahlah! Walimatulurus bukan satu perniagaan!
Saya pernah bersenda, kalaulah setiap hadirin memberi duit iringan kepada keluarga pengantin, silap-silap, keluarga pengantin boleh dapat semula belanja perkahwinan, malah mendapat untung!
Kalau yang betul-betul mahu menghadiahkan pemberian dengan itu tak mengapalah, bagaimana pula yang melaksanakannya dalam keadaan terpaksa atau terdesak? Tidakkah menyusahkan namanya tu.
Malah ada juga kenduri yang hanya memberi ole-ole/cenderahati/bunga telur kepada para tetamu yang hanya 'salam berduit' dengan keluarga pengantin. Begitu sekali.
Justeru di mana fungsi walimatulurus sebagai tanda kegembiraan dan hebahan atas sesuatu perkahwinan? Atau perkahwinan itu memang tanda kemegahan dan satu peluang perniagaan?
Kalaulah kita tahu bahawasanya kehadiran kitalah hadiah yang paling bermakna buat pengangtin. Tidak perlulah berhadiah-hadiah mana, setakat mampu sahaja, cukuplah.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih)
Malah jangan pula sampai walimah tersebut menjadi majlis makan yang dikeji oleh Islam iaitu dengan mengkhususkan jemputan hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin dilupakan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: {Dari Abi Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah. Orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.”(Muslim)}.
Oleh itu laksanakanlah walimah sekadar yang mampu, tanpa perlu merasa malu disebut atau dikata orang.
[petikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)]
Abadikan lafaz 'aku terima nikahnya' itu sebagai lafaz perkongsian. Perkahwinan bermaksud mendapatkan keredhaan Allah dengan hidup bersama.
Tetapi kalau walimah sudah hilang berkat sana sini, bagaimana pula ceritanya...



0 ulasan:
Catat Ulasan