Pengikut

20 Februari 2011

Tarikh Pengumuman Keputusan SPM 2010

Foto ihsan: www.cikgufarizal.com

Semakin ramai nampaknya yang berteka teki tentang tarikh pengumuman keputusan SPM 2010, termasuklah saya sendiri. Sibuklah calon-calon SPM 2010 berfatwa sana-sini tentang tarikh yang sahih. Ada yang kata 13 Mac, 23 Februari, 24 Februari, 14 Mac...23 Julai juga ada, malah ada yang meminta supaya keputusan SPM tidak dikeluarkan langsung!

Siap ada blogger yang membuat pertandingan meneka tarikh keputusan SPM lagi. Hadiahnya juga lumayan. Maka ramai pulalah blogger yang berfatwa di blog masing-masing. Silap-silap jika ada yang membuat carian tentang tarikh keputusan SPM, terpaut pula di post mereka. Maka fatwa-fatwa itu disebarkan pula di laman-laman sosial. Kita pun terus berteka-teki.

Saya mungkin sahaja ada ramalan tertentu tentang tarikh keputusan SPM daripada sumber yang boleh dipercayai. Tetapi saya tidak berminat dengan contest tersebut.

Saya bukan blogger yang baik. Tidak terkejar-kejar contest, trafik tinggi, tag sana sini atau apapun. Follower pun berapa kerat je!

Jika anda mempunyai tarikh ramalan yang rasa macam-macam tepat, dan mahu menang hadiah, silalah ke sana.

Kita sendiri pun masih berteka-teki. Tiada siapa pun yang tahu tentang tarikh yang sebenar. Tiada sumber yang dapat mengabsahkannya. Pengumuman rasmi juga masih malu-malu menampakkan diri.

Dalam sibuk-sibuk kita berteka-teki, mencongak bagaimana rupa slip peperiksaan nanti, menghitung-hitung degap-degup jantung dalam hati, ada pula yang membuat event di Facebook. Tarikhnya 14 Mac. Anda mahu percaya atau tidak terpulang, kerana antara mahu atau tidak, waktunya akan datang juga.

Saya percaya tarikhnya telah diputuskan. Cuma belum diumumkan secara rasmi lagi.

14 Mac, 13 Mac, dan 23 Februari

Tarikh pengumuman keputusan SPM telah diputuskan 21 Februari. Itu memang sudah sahih. Jika anda bercakar muka dan tarik-tarik rambut bergaduh tentang tarikhnya yang sebenar pun tiada gunanya lagi. Tarikh itu sudah pasti. Rasmi.

Ketiga-tiga tarikh di atas kelihatan signifikan. 14 Mac menjadi pilihan Facebooker kerana calon yang menjalani PLKN tamat menjalani latihan 13 Mac, maka sesuai benarlah jika keputusan dikeluarkan pada tarikh tersebut. Tarikh-tarikh sekitarnya (selepas) sekitar 14 Mac dan ke atas juga munasabah. Tarikh sebelum 13 Mac semacam kurang kena, kerana PLKN.

23 Februrai pula nampaknya semacam sahih juga. Sumbernya juga diyakini. JPN Pahang dan bisik-bisik daripada warga sekolah saya. Daripada guru-guru sehinggalah pelajar-pelajar sekarang semacam mencanang tarikh tersebut. Boleh jadi juga.

Jika anda perasan, lewat belakangan ini, keputusan peperiksaan awam kebanyakannya diumumkan awal daripada kebiasaan. Keputusan PMR 2010 tahun lalu diumumkan pada 23 Disember, keputusan STAM 2010 pula diumumkan 31 Januari 2011 (biasanya diumumkan bersama-sama SPM), dan STPM 21 Februari (biasanya tidak lewat daripada SPM).

Seorang bekas guru saya yang kini pegawai di JPN Pahang awal-awal mengingatkan, "jangan terkejut kalau keputusan keluar awal!" membuatkan saya takut. Jenakakah atau realiti?

Tahun lalu, keputusan SPM 2009 diumumkan pada 9 Mac 2010. Jadi menurut perkiraan saya, tarikh untuk tahun ini tidaklah terlalu jauh daripada tarikh tersebut. Justeru tarikh-tarikh di atas logis.

Kalaupun tarikhnya jauh daripada jangkaan umum seperti bulan Mei atau berikutnya, jelaslah kerajaan memang bermasalah!

Sejauh mana pun kita berteka-teki dan menghitung debaran, hakikatnya, masih belum ada pengumuman rasmi.

Tiada gunanya kita berspekulasi sehingga mengelirukan orang lain. Apa kata sambil-sambil kita berteka-teki, marilah kita kurangkan pemusatan rasa takut kita kepada keputusan SPM kita dengan membanyakkan persiapan diri terutama dari segi mental. Memperbanyakkan doa itu lebih. Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk menerima apapun. Itu lebih utama.

Teka-teki ini juga memesan kita supaya menjadi orang yang menonton Buletin Utama dan rajin-rajinlah membelek akhbar tempatan. Berfatwa sesuka hati belum menjamin kesahihan ramalan kita!

Atau mungkin sahaja ramalan saya bakal nyata. Ah..kita tunggu sajalah pengumuman rasmi!


0 ulasan:

 
;