Meniarapppp!!

"Uols Ungu, I merrah!"- Jamuan akhir tahun 5IK, saya bersama webcam di belakang

Dua tahun saya bergulat dengan subjek perakaunan. Istilah debit, kredit, jurnal, imbangan duga, nota itu, nota ini, penyata itu, penyata ini, akaun itu dan akaun ini semacam sudah menjadi permainan saya. Hampir setiap hari, malah sepanjang masa, istilah-istilah ini kami hadami.
Subjek perakaunan tidak seperti subjek-subjek lain. Kita harus bermula dengan kosong. Hanya sifir tambah tolak sahaja bekalan. Asasnya memang dipelajari ketika Tingkatan Empat. Daripada tidak tahu apa-apa tentang dunia perakaunan, sehinggalah bertarung dengan jurnal, buku tunai, imbangan duga dan sebagainya sepanjang masa, akhirnya ilmu perakaunan sendat di kepala.

Hasilnya? Kita tunggu keputusan SPM!!

Banyak Tanya, Banyak Cakap dan Selalu Mengarut
Apa yang saya ingin kongsikan dengan anda ialah berkenaan guru perakaunan saya, Puan Suriha Sadi. Saya berguru dengan Cikgu Suriha semenjak di Tingkatan Satu lagi. Sewaktu itu, dia mengajari saya mata pelajaran Matematik. Saya kira waktu tu, saya masih terlalu 'kanak-kanak' untuk menilai. Dalam kepala saya hanya ada Cikgu Suriha sinonim garang. Kami belajar dalam takut-takut. Rotan kadang kala di meja. Saya pernah kena pulas telinga oleh Cikgu Suriha akibat tidak mahir factorise [faktorkan] ayat matematik. Juga pernah ditegur kala Cikgu Suriha mengajar di hadapan, saya memandang orang yang lalu-lalang di tepi tingkap (sebab saya duduk di tepi tingkap!) lalu berkumandanglah suara di hadapan kelas.." Shamssull...! Ko pandang siapa tepi tingkap tuu?"

Naik Tingkatan Empat, saya berguru pula dengannya dalam subjek perakaunan. Bergelumang dengan mula-mula Kitaran Perakaunan, kemudian Soalan Satu, Imbangan Duga, Penyata Kewangan sehinggalah pengrekodan akaun-akaun yang lain. Payah itu biasalah, seronok pun ada juga.

Dalam kelas perakaunan, kami 'diharamkan' tidur. Sangat haram. Siapa sahaja tidur dendanya mudah, Cikgu Suriha akan capai mana-mana tumbler minuman yang ada dan dijiruskan ke kepala. Tabiat saya semenjak kecil ialah bawa air masak di dalam kelas dalam botol yang besar. Jadi, masuk sahaja period Akaun, semua kawan-kawan sudah pesan siap-siap,"Wei, Shamsul! Soroklah botol air kau dekat belakang!"

Sebegitu kejam guru Akaun kami? Garangkah beliau sebagai mana saya anggap ketika saya di Tingkatan Satu? Haha.. Tidaklah. Cikgu Suriha seorang guru yang sangat berdedikasi. Garangnya bertempat. Tetapi cerianya yang selalu terlebih. Ikut mood jugalah.

Di dalam kelas Perakaunan, saya suka tanyakan soalan yang bukan-bukan, yang tak masuk akal, yang mengarut pun banyak juga. Sengaja, saya suka sebenarnya. Tetapi Cikgu Suriha selalu buat muka geram.
"Ishhh..ko ni Shamsul, kena dengan saya karang.." Kecindan Cikgu Suriha boleh tahan juga.

Selesai satu-satu tajuk kami selalu diuji. Selesai diuji, semak dan siapa-siapa yang tidak ikut standard, akan didenda! Dendanya pula bukan sembarangan, pelik-pelik tetapi apabila dikenang sangat nostalgik.

Meniarap: Ini denda kami yang sangat popular. Biasanya, akibat tak siap homework atau kerja tidak sempurna. Ataupun tak capai markah sasaran. Saya pernah kena. Berkali-kali pula tu =). Dendanya mudah, meniarap sahaja di atas lantai kelas, sambil siapkan kerja yang tertangguh, atau buat pembetulan. Lama mana bergantung banyak mana kerja anda yang belum beres. Mampu?

Junjung kerusi: Ini juga satu denda yang sangat 'menyeronokkan'. Jika markah anda tidak capai sasaran, anda harus buat pembetulan sambil mencangkung tetapi... jeng..jeng..jeng..Kerusi anda harus dijunjug di atas kepala. Haha..mampu?

Mandi: Denda yang ini selalunya jika kebetulan kelas perakaunan waktu pagi. Biasanya jika antara kami ada masalah timing semasa ujian. Anda bayangkanlah, waktu-waktu pagi tiba-tiba anda disuruh ke tandas dan basahkan seluruh badan. Tidak boleh masuk selagi tidak basah sepenuhnya. Basah tu, okeylah lagi, yang sejuk seluruh badan tu. Mampu?

Buat pembetulan di bawah terik mentari jam 1 tengah hari di dataran perhimpunan: Haha.. Yang ini paling 'best'. Seingat saya hampir seluruh kelas kena. Kami dibawa ke dataran perhimpunan dan siapkan pembetulan bawah terik matahari. Peluh mengalir-mengalir, anda tidak akan tahan panasnya. Memang menyeksakan tamat sahaja denda kami jerit "cikgu..tobat cikgu..kami tak buat dah lepas ni..".. Tetapi inilah denda paling seronok yang pernah kami alami. Sebab didenda semuanya bersama.


Lompat kangaroo: Lompat secara beramai-ramai. Serentak dan mesti seirama. Aduh, denda yang ini pun menyeksakan juga tapi sangat lucu. Tapi kami tak kisah, anggap sahaja semacam exercise. hehe..


Mengenangkan denda Cikgu Suriha, saya tercuit. Lucu amat. Sangat nostalgik. Tiap kali test apabila kami tahu kami tidak capai sasaran markah, "okeylah.. yang tak mencapai sasaran..sila bangun.."


Okey cikgu, kami tahu dah..


Denda-denda kami bukan denda yang jenis diktator ya! Walaupun sangat menyeksakan, tetapi dijalankan dengan penuh santai dan canda juga. Kami masih boleh bergelak tawa sambil-sambil bergurau juga. Kenangan itulah yang mahal buat saya.


Cikgu Suriha seorang yang baik. Kami sahaja pelajar perakaunannya ketika itu. Satu-satunya guru perakaunan di sekolah kami. Yang membetulkan kami. Yang membuatkan kami daripada tidak tahu sehingga arif serba-serbi. Daripada mahir kepada tidak. Malah boleh menjadi teman gurau juga [teman gosip pun!]. Berbual dengannya di luar waktu ilmiah baik di luar kelas atau di dalam telefon pasti ada tawa. Sifatnya keibu-ibuan yang tipikal, yang selalu marah-marah dan meleteri anak-anaknya, tetapi sedia memberi tunjuk ajar dan prihatin kepada masalah kami, dan bergurau senda juga.


Aduh rindulah dia!


Aik? Seperti kukenal tiara itu..? Hehe.. [ihsan foto: FB Cikgu Suriha]




Semoga Allah sentiasa memberkati hidup indah Cikgu Suriha.
Saya rindu nak meniarap atas lantai kelas yang berdebu tu.. hehe
^_^


3 ulasan:

Ecah Ecot berkata...

warden yg garang tp penyayang

Shamsul Amin berkata...

Sangat penyayang... kalau tak tak dapat a+ akaun.. huhu

MAhliGai KasIH OpiERa berkata...

rindu cikgu suriha

 

Anekdot Diri

Foto saya
Penulis kreatif dan deskriptif yang menulis dalam pelbagai genre. Pelajar tahun pertama bidang Pengajian Melayu (pengkhususan Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2010. Karya beliau sering mendapat tempat dalam pelbagai media arus perdana seperti Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa dan pelbagai lagi.

Bergandingan bersama rakan-rakan penulis muda yang lain menubuhkan Legasi Oakheart, dalam memperjuangkan penerbitan buku secara mandiri untuk penulis muda dan menjalankan aktiviti seni dan sastera di seluruh negara.

Boleh dihubungi menerusi emel: shamsulamin.yusof@gmail.com.

Pengikut