![]() |
| Picture courtesy: Google |
Kata seorang teman sekelas saya di SMKAP, sekarang ini banyak novel yang menggunakan I dan You di pasaran. Kebetulan pula kawan saya seorang ini pula penggemar karya popular. Katanya, I dan You tampak lebih moden. Kalau begitu, saya naik meluat kalau ada pengarang yang tegar menggunakan I You tidak semena-mena.
Aduh...geli I !
Bukan tidak ada karya sasterawan besar yang menggunakan I You, tetapi serasa saya mestilah relevan dan relatif kepada cerita. Kebanyakan I dan You digunakan dalam cereka untuk menggambarkan 'ketamadunan' dan 'kemodenan' bahasa orang kota yang sekarang telah banyak bertambah kosa kata dalam hidup mereka.
Tetapi, tidak boleh pula saya menyalahkan mereka tentang kebejatan masyarakat tidak berbahasa ibunda sepenuhnya oleh warga kota. Tidak boleh kita sesuka hati menghukum karya sastera. Kerja mereka menggambarkan, barangkali. Anggap sahaja ini kita namakan sebagai proses pengekodan bahasa, seperti yang kita selalu harapkan.
Berbalik kepada isu seputar sudut pandang saya dalam karya, syor rakan penulis saya, Nur Adilla Abd Rahim, capai sahaja Tunggu Teduh Dulu oleh Dr Faisal Tehrani. Ya, saya giur sekali sekarang untuk mendapatkan karya-karya Faisal Tehrani baik yang sudah lama atau juga yang baru di pasaran, termasuklah antologi cerpen Tiga Kali Seminggu.
Tetapi apalah nasib penganggur sepenuh masa seperti saya, masuk ke dalam Popular tiada berwang, alih-alih masuk ke dalam toko buku sekadar kelih dan pulang hampa! Saya sekarang sedang 'mengulang kaji' (istilah baru pasca-MPR, bukan lagi baca!) karya-karya dalam simpanan saya yang sudah dibaca. Saya baca buat kali kedua. Kami sekeluarga jarang pulang ke rumah, jadi kesempatan pulang ke rumah sebulan sekali,saya capai mana-mana novel yang sempat untuk dibawa pulang ke 'rumah' kami di kem polis. Kemudian saya khatami novel-novel itu sekali lagi termasuk Manikam Kalbu karangan Faisal.
Di MPR saya mengaku pengagum Dr Faisal Tehrani dan Dr Mawar Shafei, walhal karya-karya mereka jarang saya beli sendiri. Banyak lagi buku Faisal Tehrani yang belum masuk koleksi. Kebanyakan karya kedua-dua mereka saya pinjam di perpustakaan sahaja.
Bercakap juga tentang 'saya', Adilla juga mengingatkan saya kepada antologi cerpen Mawar Shafei, Masitah. Dalam antologi tersebut, saya paling menggemari cerpen 'Suami Saya Tidak Melakukannya' yang mengangkat isu 9/11 dan menjadi inspirasi kepada saya untuk menukangi 'Anthony Azim' lewat Perkampungan Penulis Muda Peringkat Kebangsaan dulu.
Anthony Azim
Sehingga sekarang saya merindui 'Anthony Azim' saya. Bagi saya itulah antara cerpen yang paling baik tetapi tidak sempurna yang pernah saya hasilkan. Yang saya maksudkan baik itu ialah subjek dan ideanya. 'Anthony Azim' lahir pada tahun 2009 hasil tuntutan pertandingan pada Perkampungan Penulis Muda Kebangsaan di Kukup, Pontian berjaya memenangi tempat ketiga kategori pengkaryaan cerpen ketika itu, tewas di tangan cerpen labu sayong Adilla dan cerpen wakil Johor.
Cerpen itu bertulisan tangan, memang dihantar dalam tulisan tangan. Hampir-hampir sahaja saya tidak menghantar karya tersebut,melihatkan peserta-peserta lain pada ketika itu buat sambil lewa sahaja tentang tugasan dua puisi dan satu cerpen. Tangan saya berhempas pulas menyiapkan cerpen tersebut dalam tiga malam. Bayangkan saja, sudahlah bertulis tangan, deadline pula suntuk, tiada edit segala terus saya hantar kepada urus setia. Malah, dalam perjalanan lawatan ke DBP Wilayah Selatan menaiki bas pun saya masih menulis!
Inspirasi daripada 'Suami Saya Tidak Melakukannya' saya hasilkan 'Anthony Azim' ceritanya kurang lebih berkisar tentang sikap prejudis dan fahaman Islamofobia di Amerika pasca-9/11 memaksa seorang Muslim Melayu yang belajar di universiti di sana mengaburkan identiti Nusantaranya, menukarkan nama Islaminya Abdullah Azim kepada Anthony.........(entah saya pun lupa apa namanya,kerana sewaktu itu saya kurang memahiri nama-nama Yahudi), sebagai langkah selamat dan memperlihatkan identiti barunya sebagai seorang Yahudi celup. Pra 9/11, Azim ini juga selalu mejadi mangsa rasis di Amerika tetapi tidaklah seteruk selepas isu runtuhan WTC, sekadar tidak dibenarkan sembahyang...etc..etc..etc... Tetapi gerakan Islamofobia makin meruncing selepas insiden 11 September.
Kebetulan, Azim menyukai seorang perempuan Yahudi yang bernama Fran Fine (haha..saya hanya kenal dia seoarang sahaja perempuan Yahudi kerana saya salah seorang penggemar sitkom The Nanny di Hallmark!).Kiranya Azim ini semacam apa bahasa orang sekarang.. apa? stalker?..Gitulah..
Azim cuba merapati Fran dengan beridentitikan seorang bukan Muslim, malah Yahudi, malah menukarkan namanya kepada Anthony dan dengan gementar duduk berdekatan Fran di sebuah kafe dan cuba bercakap tentang 9/11 bersama Fran dari kaca mata seoarang Yahudi dengan seoarang Yahudi. Maksudnya di sini Azim itu sekarang cuba menjadi dan meletakkan dirinya sebagai pro-Israel dan pro-Yahudi, demi menawan hati Fran tetapi mengecewakan. Fran, seoarang pelajar ijazah sarjana muda jurusan kesusasteraan lebih memihak kepada Dunia Islam dan lebih suka bercakap tentang karya-karya Jalaluddin Rumi daripada bercakap tentang Hannukah, gerakan Zionis dan etc..etc...Maka berlakulah provokasi dan tingkah meningkah idea antara mereka.
Nak dijadikan cerita... jeng..jeng..jeng..! Akhirnya Fran menolak Anthony (Azim) dengan mempersoalkan "kau mahu bercakap tentang iman siapa? Iman aku sebagai seorang Yahudi atau peganganmu sebagai Muslim?" (saya ingat lagi dialog ini) dan Azim akhirnya kantoi, identiti Nusantaranya sudah lama ketahuan oleh Fran. Fran pula membuka cerita bahawa dia menagih bimbingan seorang pemegang al-Quran untuk meyakininya untuk menolak the fake Torah dan akhirnya bercintalah mereka dengan janji Azim kepada Fran, "aku bersedia". Begitulah..
Saya menganggap saya cuba mengangkat isu yang sangat global, tetapi plot saya tunggang langgang, dan kurang ilmu bantu. Maklum sahajalah, cerpen tempah. Pertandingan pula tu. Saya puas tetapi teringatkan janji untuk diantologikan membuatkan saya rindu untuk membaca kembali 'Anthony Azim' kerana ketika menghantar karya, kami memang memberikan draf karya aka primary copy. Maklum sahaja tulisan tangan.
Tetapi sampai sekarang, janji antologi sepi. Ah, saya rindu 'Anthony Azim'!
Berkenaan watak, Abdullah Azim itu memang nama yang maujud. Nama itu saya ambil daripada teman setingkatan saya. Memang menjadi tradisi saya, setelah permisi daripada kawan-kawan, saya memang menggunakan nama-nama mereka dalam karya-karya saya.
Saya
Suami Saya Tidak Melakukannya mengingatkan saya kepada 'Anthony Azim'. Dalam 'Suami Saya Tidak Melakukannya', Dr Mawar Shafei jelas-jelas menggunakan saya dalam cerpen beliau. Itu yang saya mahu pelajari semnejak dua menjak ini. Kata Salina Ibrahim lewat MPR dahulu, sekali sekala cubalah gunakan 'saya' dalam karya. Saya sedang berusaha ke arah itu.
Dalam buah tangan baharu, dalam novel saya mungkin? Aha.. ;-p
Kalau ada karya-karya besar yang menggunakan saya, maklumkan kepada saya. Saya ingin belajar daripadanya.
| Bercakap tentang perkampungan penulis muda, rindu pula mereka! |



0 ulasan:
Catat Ulasan