| Rindunya mereka! |
Takut, cuak, melihat karya-karya senior lain, juga melihat karya kawan seangkatan, mereka hebat amat!
Marilah kita tinggalkan cerita saya dengan tinta yang masih belum menari.Pandai-pandailah si Shamsul Amin bawa diri!
Ayuh saya bawa anda kembali zaman pembelajaran saya di MPR. Mula-mula, saya fikir pengalaman ini terlalu eksklusif untuk saya ceritakan, tetapi tidak mengapalah. Manalah tahu, selepas saya bergebang, anda berhasrat mahu ke MPR pula ke...
Perjalanan saya bermula ketika saya menaiki bas seorang diri dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Tiba di Kuala Lumpur, saya diambil Pokleh ke Menara DBP bersama dua teman penulis Mohd Haniff Mohammad Yusoff dan Muhammad Arif Bazli, kedua-duanya dari Kedah. Penat barangkal, kami dibawa ke tingkat berapa entah, di pejabat PURNAMA dan berehat seketika. Hari sabtu, semua staf DBP cuti. Dapatlah kami berehat dengan aman sentosa.Fuh..
Siang sedikit kami bertolak ke Port Dickson bersama kawan-kawan yang lain. Saya duduk di sebelah Arif Bazli dan saya terlelap. Sedar-sedar sahaja kami sudah sampai di Hotel Seri Malaysia. Kami ditaklimatkan Kak Zeti kemudia berehat di bilik penginapan.
Saya sebilik dengan Al-Ghazali Sulaiman, dan Khalil Zaini. Kami berborak-borak, dan bersantai-santai, dan saya masih penat yang sangat tidak terkata. Al-Ghazali karyanya sudah banyak, Khalil pula bakal guru yang saya lihat proaktif juga berkarya, dan mereka bertukar-tukar cerita. Semacam program jejak kasih pula, mereka pernah bertemu nama di media dan saya hanya memandang tanpa cerita. Masih penat.
Dalam hati saya, yang menyertai MPR ini bukan calang-calang orang. Lihat sahaja roomate saya, mereka hebat!
Saban malam dan hari kami berbengkel, bertukar cerita itu dan cerita ini. Ketika makan di foyer atau kafe Kemang selalu sahaja bercakap-cakap seputar dunia sastera, dan saling bertanya karya kau dah ke mana, kau kenal tak orang itu, kau kenal tak orang ini, karya kau dah siap ke belum, mengumpat-ngumpat fasilitator pun ada juga, bercerita tentang ke'sporting'an mereka dan setiap bicara yang menderai tawa.
Sungguh, saya suka suasana begini. Suasana bersama-sama orang yang mempunyai minat yang serupa, bercakap-cakap tentang perkara yang sukar untuk saya bualkan bersama rakan-rakan sekolah kerana mereka hanya kenal A. Samad Said dan Faisal Tehrani. Soal umur saya ketepikan.
Sebelum ke MPR, saya selalu fikir angka 17 membataskan saya untuk menyerlah. Saya dapat membayangkan mereka sudah tentu orang-orang uni yang hebat dan saya fikir tidak akan biasa dengan mereka. Saya bukanlah tidak mempunyai kawan yang lebih dewasa, tetapi saya fikirkan mereka ini penulis, saya takut!
Tetapi kami sudah bagaikan adik beradik di sini. Seminggu berkampung, kenangan saya bersama mereka terlalu autentik. Mengenali mereka amat saya hargai. Kami bagai keluarga yang besar sesudah MPR, malah lebih besar apabila kami dikeluargakan pula dengan mantan yang lepas-lepas.Kira kami ini yang bongsulah..
| Menikmati matahari jatuh sambil berpuisi |
| Bersama sasterawan ulung juga Abang Long kami dalam MPR, Zaen Kasturi |
| Cikgu-cikgu saya yang saya kenang sampai mati Abang Din, Kak Ina, Abang Wan dan Kak Nas |
| Pantai Teluk Kemang: Inilah tempat kami bermain petang-petang.. |
![]() | |||
| Di Muzium Perang |
Saya paling bertuah dapat berguru dengan pengarang dan penyair terkenal seperti Salina Ibrahim, Ridzuan Harun, Nasriah Abdul Salam dan Shamsudin Othman. Mereka penuh sifat ke'abang'an dan ke'kakak'an. Bukan sahaja belajar, malah memesrai, dan berdampingan dengan mereka. Saya sangat bertuah.
Juga mengenangi barisan urus setia yang sangat baik. Saya tidak dapat lupa cerita paranormal Pokleh yang menyeramkan ketika kami berjaga menyiapkan karya di bilik bengkel lewat pukul 2 pagi, malah sempat lagi kami mengutuk Uncle Seekers yang durjana. Kelucuan Opah yang ada-ada sahaja, Kak Zeti yang tak habis-habis mendera kami dengan deadline, Along yang sibuk dengan LCD segala dan Abang Sham yang merakam setiap gerak geri kami dengan kameranya. Juga Syukri dan Haniff yang menaip karya-karya kami.
Saya tak akan lupa semua itu.
Juga teringat-ingat sesi bedah karya bersama Kak Ina yang penuh 'drama' (sebab Kak Ina baca cerpen kami kuat dengan penuh penghayatan!), memang boleh menang pelakon terbaik kategori script reading. Juga teringat Kak Nas yang marah saya menjawab soalan saat kami 'dibasuh' akibat tidak tahu karya masterpiece penulis Malaysia, "awak nak jawab, tapi awak teragak-agak, geram betul Kak Nas!". Juga terkenang-kenang Abang Wan yang belum belanja kumpulan kami steamboat tidak seperti kumpulan-kumpulan lain. Masih terharu dengan pujian Abang Din tentang kosa kata saya yang luas (katanya, padahal zulmat itu sahaja yang saya tulis!) dan saya dapat 5 bintang untuk puisi, saya mengulangi sejarah kegembiraan Kak Nas sewaktu MPR 05!
5 bintang itu yang membuatkan saya seperti tidak percaya saya berbakat dalam puisi.
Tetapi dalam banyak-banyak, saya masih tidak dapat menerima sampai sekarang Peserta Terbaik Puisi. Sampai sekarang saya tidak buka hadiahnya sebab terlalu takut, semacam bukan saya yang selayaknya.
Ah, hendak bercakap tentang mereka sampai sudah pun berpanjangan, eloklah saya berhenti, dan biar sahaja yang mengenanginya, dengan cara saya.
Saya masih ingat kedudukan kami dalam kelas, ingat wajah mereka, dan ragam mereka. Saya simpan dalam hati dan sekarang pula rindu saya kepada mereka bercambah. Saya pula masih berhutang, saya ke MPR tetapi saat ini saya semacam terkena block's writer. Doakanlah saya boleh menulis. Maksud saya, doakan karya saya tembus di media. Saya rindu untuk melihat karya sendiri di media.
Anda mahu merasai pengalaman itu, sertailah MPR!
Baca lagi catatan saya tentang MPR di blog MPR. Klik sini..



2 ulasan:
Salam,
Graduan MPR ya? Tahniah! Teruskan usaha dan selamat datang ke dunia penulisan yang indah =)
Ya, saya graduan MPR.
Terima kasih atas sokongan..
Catat Ulasan