Pengikut

31 Disember 2009 0 ulasan

Akhirulkalam..


Pantai Irama, Bachok, Kelantan.


Melewati perjalanan sejauh ini, hati berbisik supaya jangan cepat berpuas hati. Apabila usia sesingkat ini, terlalu banyak duri menguji, tidak kurang banyak kemanisan yang telah dicicipi. Semuanya mengajar diri supaya menjadi lebih berani, dan membuat hati memahami tentang erti hidup yang berdiri atas nama yang terlalu seni.

Kejayaan datang silih berganti memesan diri agar jangan mudah berbangga diri, setiap satu yang dihajati dan jika berjaya dijajahi ialah anugerah anugerah Allah yang tak kurang menguji. Kejatuhan yang dialami berganti-ganti membangkitkan diri agar mengenal siapa diri yang hakiki, belajar untuk terus berdiri, dan berlari tanpa henti kerana setiap musibah pasti tersembunyi hikmah yang tersendiri.

2009.

Angka yang empat ini ditelusuri dengan hati yang penuh erti, berani, dan kadang kala teruji. Kadang kala diri cepat merasakan betapa hidup ini terlalu kejam menghukum jalan yang ingin dipintasi, dan cepat juga diri menyedari hidup sesingkat ini tidak tertulis sendiri lalu menginsafi siapa diri ini.

Hidup ini bukan dongengan rekaan manusiawi, tetapi perjalanannya telah tertulis di atas prasasti yang tak terjangkau oleh mata kerana terlalu seni, dan sebagai insan, terimalah dengan sepenuh hati dan redha hidup ini tiada yang pasti.

Hidup ini dinyawakan oleh impian yang dibina dari kekuatan diri, dan dikukuhkan dengan harapan yang pasti, hanya kita manusia terus berdoa kepada-Nya, mengharapkan sesuatu terjadi, sedang DIA punya perancangan tersendiri.

2010.

Aku menggamitmu dengan harapan yang sedikit, berharap agar aku tidak hanya bermimpi dan duduk berpamit.
Aku bangkit mengenal siapa diri dan perjalanan sejauh ini bukan kehendakku, tetapi Dia telah menentukan semuanya dan aku akan terus redha menerima,
sejauh ini perjalanan tertempa.
19 Disember 2009 2 ulasan

Muktamad, Saya Tidak Ke Sana




Dalam kesedihan ini saya tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita. Kelonjakan hati dua minggu yang lalu cekatan bertukar hiba. Setiap manusia bercita-cita, dan hidup sekurang-kurangnya dengan sedikit harapan seadanya, dan tiada apa yang dapat mengecualikan saya daripadanya, kerana saya juga manusia biasa.

Bagi saya tiada syarat untuk bermatlamat. Sesiapa sahaja Allah berikan ruang untuk mengejar impian dek semangat yang menghambat, ada impian lama-lama menjadi dekat, tidak kurang ada cita-cita yang tak terhambat.

Mengintai jendela cita-cita di kamar sepi, saya termenung sendiri dan kadang kala melontarkan seribu soal, apa ini?

Biar saya mulakan dengan mengintai di balik tabir pengalaman empat tahun yang lewat, ada sesuatu yang menarik minat.

Tatkala usia saya ketika itu baru menjangkau 13 dan saya kira baru sahaja melepasi usia kanak-kanak, ketika rakan-rakan sebaya buntu mencari haluan, dan ketika saya sendiri tidak tahu ke mana laluan kehidupan, saya menemukan detik hati dalam kalbu yang berbisik sendirian; saya mahu jadi penulis.

Membelek-belek lembaran majalah dalam kelas popular negara, Dewan Siswa saya tertangkap oleh satu ruangan motivasi remaja kelolaan Salina Ibrahim yang cukup tidak menghampakan malahan sering menjamu pembaca dengan pesanan-pesanan untuk remaja yang cukup mengesankan. Saya masih ingat ketika itu Dewan Siswa masih diterbitkan secara bersama dengan Kumpulan Karangkraf. Namun selain artikel wacana yang berguna, mata saya dilarik kepada nota kaki di bawah artikel tersebut.

"Salina Ibrahim ialah mantan Minggu Penulis Remaja (MPR)"

Justeru saya lagi tertanya-tanya, apakah MPR yang sebenarnya. Singkatan ini benar-benar menarik minat saya. Menggulati pula buku-buku comel KOMSAS, mata saya lagi tertangkap oleh ungkapan yang sama dalam ruangan biodata penulis yang disediakan di halaman-halaman belakang.

Maka dengan cubaan taakulan yang minimum, saya beranggapan MPR ialah satu program yang tugasnya membidankan DBP, melahirkan penulis-penulis baharu.

Menyelidiki pula jaluran teknologi masa kini, saya tidak puas ingin mengetahui tentang MPR melalui internet. Menjenguk blog, mencari fakta, malah ketahuan pula penulis kegemaran, Faisal Tehrani juga mantan MPR, menelusuri sejarahnya, saya semakin teruja dan makin bercita-cita, aku juga bakal ke sana!

Tetapi ada sesuatu bagai membantutkan niat. Saya sedar usia 14 tahun terlalu muda untuk bergelar penulis dan kedua-dua syarat penyertaan ini seolah-olah menghantar pesan kepada saya supaya menunggu dan teruskan berusaha: harus mempunyai karya dan media dan umur peserta hanya 18-21 tahun!

Tetapi prinsip saya sekali lagi; tiada syarat untuk bermatlamat. Saya tidak mahu mengalah cepat. Menulis dan terus menulis. Akhirnya lewat tahun 2008 karya saya mula mendapat tempat di Tunas Cipta (ketika itu masih bersama Dewan Sastera) dan majalah-majalah lain. Selalu meninggalkan kesan di blog MPR dan mengenali beberapa orang mantan MPR yang tidak putus-putus memberi semangat.

Masih teringat-ingat kata-kata Sayidah Muizzah dan Raden Qurratu 'Aini, umur tak menjadi hal dalam MPR. Ditambah pula dengan perangsang Puan Nisah Haron, kalau karya kuat, insya-Allah, tak ada masalah...

Benarlah, tiada syarat bermatlamat!

Saya mengambil langkah berani. Berbekalkan karya-karya yang seadanya, saya mengisi borang MPR untuk tahun ini. Sewaktu itu saya masih ingat segalanya dilakukan pada saat-saat akhir, ketika tarikh akhir permohonan MPR sudah sampai ke garisnya. Saya pula sedang berada di asrama, sibuk pula dengan itu ini, akhirnya terlupa; alamak, aku kan nak masuk MPR! dan akhirnya semuanya disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa.

Sanggup pula meminjam wang daripada kawan senior tingkatan enam untuk wang pos sebagai syarat permohonan kerana sedang 'pokai', nak minta dengan Mak, malulah pulak, baru minggu lepas 'bank in', makan duit ke?

Dan beberapa minggu yang lepas, akhirnya permohonan saya berbalas. Pada mulanya saya fikir semuanya mati tidak berkubur, memandangkan surat tawaran MPR yang saya dapat hanya beberapa minggu sebelum MPR bermula (hari ini). Ketika mata saya sedang terigau-igau dan terkebil-kebil kerana agak kesiangan (kawan saya bilang normal pelajar asrama), saya dikejutkan dengan hon posmen dari laman rumah dan surat tersebut dicapai Mak,

"Min, mu dapat MPR!"

Gembiranya saya tak tergambar kelainan rasa. Siapa sangka, impian yang saya tanam sekian empat tahun akhirnya menjadi pohon dan redupnya saya rasa memayung tenang. Hati saya lapang seolah-olah menerima kejutan daripada Tuhan. Saya fikir permohonan saya ditolak bulat-bulat memandangkan usia saya yang terlalu muda. Tetapi Allah mendengar keyakinan saya, saya harus dapat MPR sebelum usia 18. Dan akhirnya saya buktikan.

"DBP tak serigid tu. Umur tak jadi hal.."

Tetapi teduhnya tak lama.... Sehari sebelum hari ini, saya akhirnya berkeputusan untuk tidak ke MPR.
Ya, saya tidak akan ke MPR..

.:: Petik-petik Sam ::.
Kata Adilla, Allah bijak memberi kejutan. Ya, memang. Hidup penuh kejutan. Kerana itu hidup ini anugerah terindah, daripada-Nya!


Ramai kenalan MPR 09 yang meminta saya menjelaskan sebab tidak ke sana, insya-Allah, dalam ruangan mendatang saya ceritakan.
17 Disember 2009 7 ulasan

Nostalgia Karpet Surau



Biarlah saya berterus terang, sebetulnya memang sukar sekali untuk mendapatkan foto gaya seorang guru seperti di atas. Menggeledah kembali folder-folder lama foto simpanan saya selama tahun 2009 (nampaknya dah berhabuk sedikit), mata saya dilarik ke folder ASAT Negeri Pahang 2009. Saya buka dan saya intai kembali nostalgia yang tersimpan kemas di dalamnya.

Kemenangan dalam pertandingan bahas ala parlimen sudah satu hal yang cukup membuat saya tersenyum. Namun gambar di atas lebih menarik minat. Terhimbau-himbau kenangan sewaktu sama-sama berlatih bahas pada saat-saat akhir bersama teman-teman bahas; Nazreen, Najmi, Fadzlin, dan Fazlin (??) juga seorang guru yang amat saya hargai jasanya Cikgu Radzi, yang setia melatih kami siang dan malam. Gambar ini secara jujurnya ditangkap atas permintaan Cikgu Radzi sendiri dan saya benar-benar menghargai ke'sempoi'an sepanjang berguru debat dengan beliau. Apa barang! (sorry ye publish gambar ni!)

Luv U Cikgu Radzi!

Namun apa yang lebih tertangkap pada gambar ini ialah latarnya. Surau as-Syafie yang luas macam padang bola. Berambalkan karpet hijau berselang warna kuning garisan tempat kaki berdiri qiyam. 

Nostalgia karpet ini terlalu banyak.

Pernah suatu ketika pertandingan futsal diadakan peringkat sekolah semasa saya di tingkatan satu. Ada kumpulan yang mempertaruhkan nama kumpulan mereka dengan nama 'Karpet Surau'. Entah apa istimewanya pada karpet surau as-Syafie sehingga diabadikan pada nama team futsal. Teringat kembali kenangan itu, saya ketawa sendiri sambil menepuk dahi.

Usianya tiga belas tahun. Kalau anda mempunyai seorang adik atau seorang anak, atau saya sendiri yang mempunyai seorang adik lelaki yang lahir pada tahun 1996, usia karpet ini sama dengan usia mereka. Bermaksud sejak tahun 1996, karpet inilah tempat bersujud meletak dahi dan tapak tangan, dan setelah tiga belas tahun usianya, generasi saya yang solat pada karpet ini hari ini boleh saja mengesat dahi mereka usai solat. Debu-debu dan pasir-pasir halus melekat pada dahi dan lebih sedih cebisan kuku yang dibuang oleh hamba Allah yang 'sangat bertanggungjawab' di atas karpet tersebut.

Sebenarnya lebih malang kalau ada junior-junior saya di Tingkatan Satu yang boleh berkata,


"Uiks, umur karpet surau kita ni sama dengan umur kitalah!".

Harap-harap tiada!

Di sinilah tempat meniarap usai tamam solat subuh kala hujung minggu, di sinilah tempat berbaring selepas yasin, di sinilah tempat berlatih bahas (huhu..), di sinilah tempat apa-apa liqa', di atas karpet ini jugalah kami sama-sama kena marah dengan warden, di sinilah semuanya. Banyak nostalgianya...

Kawan-kawan,
karpet hijau itu telah tiada. Ya, telah tiada atau akan tiada lagi.
Dia telah mengheret semua nostalgia kita di atasnya, pergi.

Al-kisahnya terjadi apabila ada penjaga dalam kalangan ibu bapa datang pada Malam Restu 2009 dan membuat aduan bahawa karpet yang dah 13 kali sambut birthday itu sudah berhabuk dan berdebu, malah berdaki seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Katanya malu nak beribadat kepada Allah. Alangkah malangnya kita...

Mendengar sahaja berita tersebut, pihak pentadbiran sekolah tidak pernah berdiam diri. Malah berusaha untuk berikan kesempurnaan dan memperbaik keadaan.

Justeru diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan, karpet sedia ada diganti (memang patut dah lama ganti sebab dah lebih sedekad). Yang lebih mengejutkan kos karpet surau yang baru itu menelan kos sebanyak RM18 ribu! Dan lebih malang apabila kos tersebut terpaksa dibiayai sendiri oleh pihak sekolah. Pihak BPI pula bagai tidak mengambil endah, malah meminta agar pihak sekolah menunggu terlebih dahulu.

Jadi kita pun berinisiatif; cari sendiri sendiri!

Ceritanya, Puan Norley yang kita semua sayangi dengan bermurah hatinya telah mendahulukan duitnya sebanyak RM7 ribu, derma PIBG terkumpul RM3 ribu dan daripada Pustaka Buku Rompin sebanyak RM 200. Lihat betapa cekalnya pentadbiran kita dan mereka ternyata tidak hanya berdiam diri. Sentiasa inginkan kesempurnaan untuk kita semua (warga SMKAP) kelak kembali bersekolah sesi 2010 tidak mahu sujud di atas marmar putih takut dingin dan tak sempurna kekhusyukan solat. Terutama PENTADBIR yang ketiadaan pengetua, tetap membulatkan hati memberikan yang terbaik dan sempurna untuk pelajar, tetapi entah apa yang kita balas. Kerajinan, kecemerlangan, kebencian?

Ataupun tambahan sumbangan kewangan? Buka sekolah nanti kita cerita ya...

Ooops.. ini baru fasa pertama ya. Ingat, RM18k masih berbaki dan warga SMKAP harus bersiap sedia. Setakat ini wang terkumpul di atas sudah mampu menampung 40% ruang solat yang mampu memuatkan 500 orang jemaah. Yang selebihnya, fasa kedua. Kita doakan sahaja agar ada yang bermurah hati membantu, tidak kiralah sesiapa sahaja. Kecewa dan sedih, amat mengharapkan agar simpati syarikat-syarikat besar yang mampu memberikan tanggungjawab sosial mereka. Malangnya belum ada. Kita doakan saja supaya ada.

Paling mengharukan ialah keprihatinan bekas pelajar daripada batch pertama sehingga generasi yang terkini. Terima kasih kerana prihatin dan sudi berinisiatif sama!

Allah sahaja yang mampu menilai amal kita. Tetapi sebagai manusia yang punya akal untuk berfikir tentang nikmat-Nya, kita tahu, setiap amalan sedekah yang baik, malah berterusan, Allah punya budi bicara tersendiri untuk memberi kita setimpal daripadanya.Tetapi keikhlasan itulah yang kita cari-cari dalam diri, barulah manis hidup ini. Menyediakan ruang sembahyang satu sedekah yang amat besar, dan katakan, siapa yang tidak mahu merebut peluang ini?

Apa-apapun nostalgia karpet surau tetap dalam hati. Terlalu banyak memori yang tersimpul kemas dalam ingatan, genggamlah dalam kalbu, dan ingatlah sampai mati. Nostalgia karpet surau memang tersendiri.


Teman sekarpet: Nazreen, Muzammil dan Azim.


Tiada apa yang menghairankan jika karpet berdebu. Gambar di atas menjawab sedikit persoalan.

*Terima kasih Sir Shukri atas maklumat

.:: Petik-petik Sam ::.
Perenggan Merah, ada sesuatu untuk direnungkan. Moga Allah meluaskan pandangan kita. 
15 Disember 2009 0 ulasan

Bakul Sampah yang Melimpah

Tidak banyak perkara dalam dunia ini yang kita takrifkan sebagai sampah selain bahan buangan yang kita tidak kitar semula dan bahan makanan yang kita jadikannya sisa kerana kita ini kan rakyat yang membazir? (Fakta: 60% sisa pepejal rakyat Malaysia ialah makanan)

Tetapi sampah yang saya maksudkan luas pula maknanya.

Apa-apa yang dibuang yang tidak digunakan; sampah!

Social sites, atau laman sosial.

Saya mempunyai tiga emel, secara jujurnya. Pertama emel peribadi. Kedua emel notifications dan newsletter laman sosial dan untuk apa-apa keahlian groups atau pertubuhan apa-apa sekalipun. Ketiga, emel Instant Messenger.

Menyelongkar kembali emel yang kedua, inboxnya melimpah dan hampir melepasi kapasiti yang seharusnya. Saya duduk hadapan monitor dan terfikir sejenak; macam mana ni!

Lalu tidak salah sekiranya sekiranya saya berkeputusan untuk memadam beberapa laman sosial sites yang saya rasakan tidak perlu. Adakalanya mempunyai terlau banyak laman sosial juga tidak membawa kita ke mana-mana juga. Matlamat untuk menjadikan laman sosial sebagai laluan kedua berhubung dengan rakan, guru, ahli team, rakan-rakan penulis, saudara-mara dan abroad friends, nampaknya telah dinomborduakan.

Jika diberi peluang untuk mendefaultkan mana-mana laman sosial saya, saya dengan jelas sekarang paling aktif ialah Facebook.

Saya ada fahaman tersendiri sepanjang berpengalaman mempunyai banyak laman sosial. Setiap laman sosial mempunyai khalayak yang tertentu dan berjati diri tersendiri.

Golongan matang, berkerjaya, pemimpin negara, dan pelajar dalam kategori 'sopan' atau skema boleh dikatakan menghuni 'rumah' Facebook. Muda mudi yang mencari cinta dan kadang-kadang hanyut dengan nudity dan  violence kebanyakannya lebih gemar mengikuti Friendster dan Myspace. Nampak bukan?

Teringa pula kata-kata seorang mentor, Cikgu Hasimah Harun (eSastera), jangan mempunyai terlalu banyak laluan (laman sosial), nampak tiada jati diri.

Benar juga sebenarnya.
Saya sendiri mempunyai 4 blog. Hmm....

Tetapi Hidup Ini Anugerah Terindah dengan ini diisytihar yang rasmi!


.:: Petik-petik Sam ::.
Selamat tinggal Friendster, Netlog dan Tagged. Juga Hi5! 
 
;