Pengikut

31 Disember 2011 1 ulasan

2011: The End


Esok 2011 melabuhkan tirai. Ada debar di dada yang saya tahan. Berdebar kerana masih banyak perkara yang belum tertempa dan ada harapan menanti di 2012. 

2011 dan 2012 cuma satu garis masa. Garis masa itu cuma dipisahkan kerana kita mengguna pakai takwim Greogian. Kita boleh sahaja memisahkan dua ruang masa dengan kalendar hijrah, hari lahir kita atau apa-apa sahaja.

Tetapi kita gemar memilih 1 hari bulan Januari setiap tahun. Ya, bagi kita itulah yang memisahkan antara baru dengan yang lama. Yang membezakan cuma satu angka di belakang jujutan empat nombor. 

Transformasi 2011 kepada 2012 ini juga saya mahu jadikan garis pemisah; silam dan yang mendatang.

Tetapi yang silam tak akan terus menjadi purbakala. Sekali sekala, saya mahu toleh kembali apa yang saya lewati sepanjang tahun sebelum ia the end. Ini cuma satu dokumentasi diri. Untuk anda tatap, bukanlah kerana saya runsing jika tidak di'expose'kan akan menjadi barah buat saya. Cuma mahu berkongsi. Cuma satu dokumentasi.

1.  Pasca-MPR

Satu perkara yang saya harus akui ialah, saya bukanlah seorang penulis yang baik. Jarang menulis (baca: malas menulis), hantar di media juga sekali-sekala. Tahun ini buah tangan saya cuma satu, Reben Hitam Untuk Mereka yang tersiar di Tunas Cipta Julai. Untuk 2011, cuma itu. 2012, saya berjanji untuk lebih bergiat aktif dalam bidang penulisan.

2. SPM

Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan keputusan SPM saya. Berpuas hati bukan kerana jujutan A nya, tetapi gembira kerana dapat membanggakan ibu bapa saya. Keputusan ini cuma mencantikkan lagi biografi saya barangkali, tetapi saya tahu perjalanan selepasnya tetap sama sahaja. Kerana itu bagi saya, buat diri saya sendiri tiada apa-apa yang hendak dibanggakan. SPM cuma medan untuk saya lepas geram sahaja. Medan untuk kita puaskan diri. Dan saya benar-benar puas!

3. Tingkatan Enam 

Saya akhirnya memilih Tingkatan Enam. Saya tidak malu masih bersekolah di usia 18, masih menelaah buku-buku sekolah dan masih berkemeja putih. Itu kemahuan saya. Kita sama-sama menuntut ilmu. Pusat-pusat pembelajaran di dunia bukan mengajar saya untuk bersaing, kerana kita cuma perlu bersaing dengan diri sendiri. Dan akhirnya saya menang dengan diri sendiri. Saya masuk form6, yay!!

4. Australia

Australia juga cuma sebuah negara. Siapa tidak berkelana jauh-jauh mencari ilmu? Siapa tidak mahu ditaja untuk belajar? Tetapi, ada impian yang belum tamam di sini. Saya harus menyelesaikan satu-satu. Bukan kasad saya untuk mengecewakan orang lain. Tetapi saya kira, kehendak hati lebih utama. Saya akan pastikan saya pulang dari Australia kalaupun bukan sebagai graduan Ekonomi, tentu sahaja sebagai seorang pengunjung. Perth aku datang!

5. Laptop

Kehilangan semacam suatu perkara yang sukar untuk diterima. Modus operandinya macam tak logik. Tetapi ia tetap satu kecurian. Saya pun tidak mencari, cuma berikhtiar mana yang boleh. Melalui hidup tanpanya sukar. Kadang-kadang terkenang, kadang-kadang teringat. Saya kehilangan banyak data, gambar, karya dan manuskrip novel saya yang sudah separuh siap. Akhirnya saya memilih untuk pasrah. Biarlah, Allah akan gantikan yang lebih baik barangkali.

6. Wisata

Wisata saya tahun ini di bumi Swiss. Keindahan yang tak akan saya lupa. Istirahat di Cameron Highlands buat kesekian kali, dan menjejakkan kaki pertama kali di Sarawak bumi kenyalang atas urusan mewakili sekolah dalam penganugerahan kokurikulum di peringkat kebangsaan. Alhamdulillah, tahun ini saya tidak banyak berjalan tetapi pengalaman di setiap tempat saya berkelana setiap satunya penuh makna. 

7. Buku

The books of the year; "Sebongkah Batu di Kuala Berang" (Faisal Tehrani) dan "Penyeberang Sempadan (Anwar Ridhwan) antara bacaan kegemaran saya tahun ini. Juga Advencer Si Peniup Ney karya FT menjentik kesedaran saya. Saya lambat membaca ASPN. Sangat ketinggalan.

8. 9.12.2011

Saya takkan lupa tarikh ini. Tarikh saat saya kembali menjadi diri saya, yang solo. 

 2011 the end esok. Tetapi perjalanan ini belum the end. Cuma setakat ini, ia cuma 'that's all folks!'

2012 menanti. Saya datang dan melaluinya dengan penuh janji kepada diri. Set, go!

-

-

-

20 Disember 2011 1 ulasan

Sesekali Berkumpul


Aisey, macam cover band daa.. Dari kiri saya, Syamil Adzman (MPR 11), Fathul Khair (MPR 11), Zulfazlan Jumrah (MPR 06), Mohd Haniff Mohammad Yusoff (MPR 09), Mohammad Hafiz Abd Latiff (MPR 02), dan MF Kencana (MPR 06)

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Minggu lepas jadual saya penuh di ibu kota. Bukan selalu dapat bersastera-sasteri di Kuala Lumpur. Saya masih budak sekolah yang terikat dengan asrama segala. Jadi cuti sekolah sebegini saya cuba penuhi dengan menghadiri bengkel, seminar etc selain membereskan kerja-kerja menulis yang ada dalam perancangan.

Minggu lepas saya di Dewan Bahasa dan Pustaka. Memenuhi undangan Bengkel Pemantapan Karya Alumni MPR selama tiga hari.

Seronok. Dapat berjumpa semula teman-teman se-MPR juga dapat mengenali junior (ewah, macamlah senior sangat!) dan senior MPR yang terlebih dahulu limpah dengan pelbagai produk penulisan. Ada yang sudah ada novel, ada yang sudah menang HSKU, ada yang sudah menulis berpuluhan drama TV. Bangga dapat bertemu mereka. Kini menjadi rafik pula.

Dapat berjumpa semula mentor di MPR. Salina Ibrahim dan Shamsudin Othman. Mereka rupa-rupanya memerhatikan kami. Malu kerana karya beberapa kerat cuma!

Juga dapat menambah ilmu dengan pengarang Nisah Haron. Pertama kali saya belajar tentang novel. Dan insya-Allah, selepas ini menulis novel pula. :p

Sesekali dapat berkumpul sesama rakan penulis (terutama mantan MPR) seronok juga. Saya selalunya terperap di Muadzam Shah, jadi aktiviti sebegini jadi terbatas sedangkan keinginan melonjak-lonjak. Sesekali berkumpul kami dapat berkongsi cerita, bergosip sana sini, mengakrabi sifu dan bercakap tentang seputar karya masing-masing dan dunia sastera.

Malang, saya jarang dapat peluang sebegini. Waktu cuti-cuti sekolah sebegini sahaja saya berpeluang. 

Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan manusia-manusia yang punya minat yang serupa. Pertemuan dengan mereka membuatkan saya mahu lebih lebih berusaha dan bekerja keras dalam menghasilkan karya dan produk penulisan.

Itulah namanya persaingan. Sihat. :)

Peserta bengkel buat-buat muka comel bersama sifu besar, Nisah Haron dan urusetia DBP. :P
08 Disember 2011 0 ulasan

Anak Halal dan Cun! Lebih Baik daripada Ombak Rindu




Saya kembali. Kembali berblog.

Filem Ombak Rindu belakangan ini menjadi fenomena pawagam. Seluruh pawagam pecah panggung gara-gara Ombak Rindu. Kadang-kadang tiketnya full-booked. Sana-sini di Facebook, Twitter, semuanya tak henti bercakap tentang Ombak Rindu. Dalam masa lima hari tayangan mampu mengutip sebanyak 5.4 juta. Bagi saya, kutipan yang membanggakan bagi sebuah filem drama. 

Saya tak terkecuali tidak terlepas daripada fenomena ini. Menonton pada hari pertama. Memang sudah lama saya dimaklumkan tentang Ombak Rindu, rasa-rasanya semenjak awal tahun. Memang dah awal-awal lagi saya masukkan dalam list to-be-watch. Yalah, sebab ada Maya Karin.:P

Saya memang  peminat filem-filem Maya Karin. Daripada Seri Dewi Malam, Pontianak I dan II, 7 Perhentian, Anak Halal, Cun! sehinggalah Ombak Rindu. Semuanya saya ikuti. Malah, siapa sangka dan mungkin ramai yang tidak tahu, dalam Hikayat Merong Mahawangsa, Maya Karin muncul sebagai cameo.

Bukan semata-mata kerana rupawan, tetapi lakonan Maya Karin memang penuh seni.

Ombak Rindu memang cukup berkesan dalam hati saya secara peribadinya. Tahan sebak juga sewaktu menonton. Mengalir airmata tapi cover-cover juga. Terkesan dengan watak Izah bawaan Maya Karin, kita tak lokek melimpahkan simpati. Daripada simpati itu kita dapat merasai banyak derita, dan derita itu yang mengesankan hati. Watak Izah nampak 'mulia' dari awal hingga akhir cerita, ketabahannya mendepani situasi dia dijual bapa saudaranya, menjadi perempuan simpanan 'Haris', mendepani cinta tiga segi dan pengorbanan beliau sebagai seorang isteri. Tabah, cukup tabah.

Maya Karin did so well in this gambar. Very very well. Sangat mengesankan.

Dalam Ombak Rindu kita dapat melihat sisi lain lakonan Lisa Surihani yang sangat beremosi, tampak antagonis, tetap karya ini bijak menyampaikan sisi hitam putih watak Mila Emyllia yang dijayakan Lisa. Begitu juga dengan watak Haris lakonan Aaron Aziz, dari seganas-ganas lelaki menjadi semulia-mulia lelaki. Filem ini memperlihatkan kuasa cinta yang tiada tolok bandingnya.

Lakonan Maya Karin benar-benar menjadi penyelamat filem ini. Dari segi jalan cerita atau plot, saya rasa garapan Ombak Rindu sedikit lemah. Mungkin kerana adaptasi daripada novel kepada filem sedikit bermasalah, memandangkan kedua-dua karya ditangani oleh orang yang berbeza. 

Osman Ali, jangan katalah, Anak Halal, Cun! telah membuktikan beliau sebagai seorang pengarah yang amat hebat, dan saya sendiri kagumi. Daripada indie kepada seorang pengarah arus perdana, pencapaian dan hasil kerja Osman Ali mutakhir ini tidak pernah mengecewakan. Termasuk Malaikat di Jendela. 

Dari segi jalan cerita, Cun! dan Anak Halal lebih baik daripada Ombak Rindu. Cuma mungkin kali ini kerjanya sedikit berbeza. Adaptasi. Yalah, adaptasi bukan satu kerja yang mudah. Bukan semua perkara dalam novel mahu dihumbankan dalam bentuk filem. Bukan semua watak mahu dihidupkan. Bukan semua babak dalam novel boleh dimasukkan dalam filem.

Jika tidak, daripada 20 scene akan menjadi berpuluh-puluh scene. Durasi 125 minit, akan jadi berjam-jam lamanya!

Mungkin atas dasar itu juga penulis novel, Fauzah Ashari, tidak melontarkan rasa tidak puas hatinya terhadap filem Ombak Rindu sendiri, kerana beliau tidak suka karyanya dicampur tangan oleh pihak tertentu. Osman Ali tidak silap. Produksi sewajarnya memanggil penulis novel sebagai panel pengolah skrip. Baru betul.

Kalau saya sendiri punya sebuah novel (insya-Allah), dan mahu diadaptasi menjadi novel, sudah tentu saya tidak mahu nama saya setakat tercatat sebagai Idea Asal/Cerita Asal. Saya mahu nama saya tercatat sebagai Pengolah skrip sudah tentunya pada kredit filem!

Saya percaya bukan mudah mahu mengekalkan 'roh' dan 'jiwa' muasal dalam karya adaptasi. Kalau tidak jadilah begini. Perang dalam diam antara yang 'dah baca' dengan 'yang belum baca'. 

Bagaimanapun, Fauziah Ashari akhirnya terpaksa mengakui, filem Ombak Rindu sudah menjadi karya yang lain. Ideanya masih seperti asal, tetapi, biaslah, karya adaptasi, pasti banyak yang berubah. Seperti yang dinasihatinya kepada pembaca setia novelnya itu, tidak perlu meletakkan apa-apa harapan, expectation ketika mahu menonton Ombak Rindu. Sepatutnya kita terlebih dahulu membuang jauh-jauh segala persepsi, anggap seperti kita sebenarnya sedang menghadapi sebuah karya yang baharu. Boleh baca di sini.  

Saya beruntung kerana bukan salah seorang pembaca novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari. Jadi impaknya kepada saya sendiri mungkin tidak sama dengan peminat setia novel tersebut. Saya merasakan bahawa Ombak Rindu sudah cukup baik.

Tahniah OR, setidak-tidaknya dengan adanya fenomena ini berjaya menarik perhatian rakyat untuk ke panggung wayang untuk menonton filem. Sambutan terhadap filem tempatan nampaknya semakin baik. 

Setidak-tidaknya masyarakat kita punya sebab untuk menonton wayang. Kerana pameran kualiti yang amat menjaminkan .

Yang paling penting, dalam Ombak Rindu saya dapat mendengar Maya Karin membaca ayat-ayat suci al-Quran. Taklah kekok bunyinya. Boleh lah... :P
-
-
-

06 Disember 2011 0 ulasan

Tertinggal

Assalamulaikum, semoga kita dikurniai Allah dengan rahmat yang melimpah ruah, dan dipayungi naungan Rahim-Nya yang maha agung.

Rupa-rupanya beberapa bulan saya meninggalkan blog yang tidak seberapa. Banyak cerita tertinggal dan terlupa untuk dicatatkan. Betul-betul terlupa, saya terlupa bahawa saya mempunyai sebuah blog yang kecil ini.

Saya sedang berusaha untuk membuat sebanyak mungkin catatan pada tahun hadapan. Insya-Allah, Saya cuba.
28 Ogos 2011 2 ulasan

Menahan Diri



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Semoga kita sama-sama dalam lindungan rahmat-Nya dan dibebaskan dari azab api neraka sempena fasa terakhir bulan Ramadhan Kareem, dan semoga kita sentiasa menjadi orang yang bersyukur dengan apa sahaja yang hadir dalam hidup kita. Apa sahaja. 

Catatan ini mungkin hanya bersifat luahan hati, lintasan hati dan catatan peribadi. Saya cuma mahu berkongsi.

Kalau ditakdirkan waktu mampu diputarkan semula, sesiapa pun mahu kembali ke titik mula. Hakikatnya, ruang masa yang kita ada, itu sahajalah yang ada. Kalau kita sudah melaluinya, lalui sahajalah.

Itu yang selalu saya sematkan dalam diri. Yang memilihnya kita. Yang nekad mahu meredahinya juga kita. Maka kita jugalah yang akan menyanggupi apa-apapun yang akan kita lalui. Ya, perit. Tetapi begitulah, lalui sahajalah. Tiada jalan patah semula. Kita cuma hanya mampu berpaling dan melihat apa yang telah terjadi.

Yang saya maksudkan ialah betapa rugi saya menolak peluang dahulu. Untuk memenuhi impian sendiri, impian orang lain saya korbankan, lebih-lebih lagi orang lain itu ialah orang terpenting dalam hidup saya. Menolak Australia dan memilih untuk menyayangi sekolah dan memilih Tingkatan Enam bukan satu keputusan mudah. Kesannya sangat besar dalam hidup saya, sehingga sekarang. Malas bercerita panjang cerita lama, rujuk sahaja di sini

Semakin kita bercerita tentang perkara yang sudah berlalu, semakin hati kita menjadi perit. 

Jujur, saya tak pernah menyesal. Saya untung kerana saya mendapat apa yang saya mahu. Tetapi saya tak boleh sembunyi dan harus mengaku bahawa saya rasa rugi. Saya ada peluang untuk menyenangkan dan membahagiakan orang lain. Tetapi saya melepaskan peluang itu begitu sahaja. Saya terkilan sendiri.

Kata pengetua baru kami, Puan Hajah Robiah, "kalau kita memilih untuk membahagiakan orang lain, memenuhi kehendak ibu bapa berbanding keperluan kita sendiri, Allah akan membahagiakan kita."

Allah menarik kebahagiaan itu daripada saya. Saya rasa kosong dada. Tepu minda, tapi hampa di jiwa. Saya masih mampu bergelak ketawa sepanjang masa, tapi hakikatnya hati saya duka. Saya rasa kekurangan sesuatu.

Karma memerangkap saya atas apa yang telah saya lakukan. Saya tahu itu yang terjadi sekarang. Saya mendapat apa yang saya mahu. Tetapi saya tidak bahagia melaluinya.

Saya seronok berada di SMKAP, rutin belajar dan bertemu dengan orang-orang yang saya sayang; guru-guru, dan rakan-rakan yang membahagiakan. Tetapi saya menghadapi rutin yang saya tak mahu melaluinya lagi. 7.00 pagi sehingga 6.30 petang saya di sekolah. Sepanjang tempoh itu saya menjadi saya. Seterusnya sehingga esok pagi, saya mendepani rutin asrama yang bukan lagi kena dengan jiwa saya.

Allah meletakkan dalam diri saya perasaan kurang senang kepada kebanyakan orang, dan saya menjarakkan diri dengan mereka atas dasar perasaan. Itu juga ketidakbahagiaan.

Tetapi saya melaluinya dengan dada iman yang terbuka. Saya nekad memilihnya, dan saya harus melaluinya dengan cekal. Saya yang memilih untuk tidak bebas, saya yang memilih untuk meletakkan apa-apa perasaan dalam diri. Jadi saya harus melaluinya. Sekalipun ketidakbahagiaan datang, yang bahagia-bahagia itu yang lebih saya kenang di sini.

Justeru, saya menahan diri. Sampai suatu saat, saya yakin, kesabaran ini menghasilkan sesuatu.

Allah ajarkan saya supaya menahan diri.

Menahan diri. Semoga Allah memberi saya sesuatu dengan ketahanan ini.
-
-
-
^_^


 
;